Home Tempatan Zamri Vinoth: HINDRAF Jangan Sibuk Isu Islam Fokus Masyarakat India

Zamri Vinoth: HINDRAF Jangan Sibuk Isu Islam Fokus Masyarakat India

SHARE

KUALA LUMPUR: Presiden Skuad Mubaligh Malaysia Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berkata, pihaknya inginkan sedikit penjelasan daripada pemimpin Hindraf P. Waytha Moothy yang kononnya memperjuangkan hak orang India berhubung kontroversi yang dicetuskan baru-baru ini.

Menurutnya, memandangkan dahulunya Hindraf melaungkan suara kononnya ingin memperjuangkan hak orang India di Malaysia dari penindasan kerajaan yang kononnya merampas hak orang India, namun kemudian beliau sendiri menjadi sebahagian dari kerajaan sehingga dilantik menjadi timbalan menteri.

“Apakah sebenarnya yang saudara ingin buktikan kepada kami kaum India?” katanya. Muhammad Zamri berkata, jelas Waytha Moothy telah menjilat kembali apa yang diludahnya setelah mendapat peruntukan dari kerajaan namun masyarakat India masih dalam keadaan yang sama.

Menurut beliau, setelah tidak mendapat apa yang dimahukan dari kerajaan, pemimpin Hindraf itu meninggalkan kerajaan. “Dimanakah suara-suara untuk memperjuangkan hak masyarakat India sewaktu beliau menjadi timbalan menteri dahulu selain hanya membisu,” tanya Zamri.

Muhammad Zamri turut mempertikaikan mengapa sewaktu memegang jawatan beliau tidak pernah menyuarakan atau membawa usul hak masyarakat India di Parlimen sedangkan ketika itu dia mempunyai ruang dan peluang untuk menyuarakan perkara tersebut walau bagaimanapun itu tidak berlaku.

Kata beliau, tidak ada gunanya Waytha Moorthy membuat bising di jalanan kononnya memperjuangkan hak masyarakat India, namun jelas apabila diberi peluang dia tidak menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin untuk memperjuangkan hak masyarakat India.

Menurut Muhammad Zamri lagi, sebelum adanya Hindraf dan selepas adanya Hindraf, sebelum menjadi timbalan menteri dan juga selepas menjadi timbalan menteri keadaan masyarakat India tetap sama. Tiada sebarang perubahan pun. Jadi apa yang Hindraf ingin buktikan?

“Cuma satu sahaja perubahan yang saya lihat sebelum dan selepas iaitu beliau bertambah kaya dan masyarakat India tetap dalam keadaan yang sama,” katanya.

Menurutnya, baru-baru ini Waytha Moorthy muncul kembali dengan gimik yang baru iaitu menyerang Dr Zakir Naik (DZN) yang seolah-olah hanya ingin mencuri perhatian media dan masyarakat India.

Beliau turut menasihati pemimpin Hindraf itu tidak mencampuri urusan agama orang lain dan lebih baik Hindraf menumpukan perhatian untuk membantu dan membangunkan masyarakat India yang masih banyak permasalahan.

“Saya hairan melihat dia (Waytha Moothy) mengapa perlu ada begitu banyak kebencian terhadap Dr Zakir Naik dan terhadap masyarakat Islam di Malaysia,” katanya.

Kata beliau, adakah dengan membenci mereka, taraf kehidupan masyarakat India boleh diperbaiki?

Beliau mengakui ada segelintir masyarakat Melayu yang berlaku tidak adil namun itu bukan tiket untuk Waytha Moorthy juga mahu berlaku tidak adil terhadap keseluruhan masyarakat Islam di Malaysia.

Beliau berkata, masyarakat Islam di Malaysia tidak pernah mencampuri urusan siapa yang Hindraf mahu bawa ke Malaysia untuk ceramah agama Hindu atau menjadi sami di kuil Hindu.

“Namun mengapa saudara mencampuri urusan kami tentang siapa yang kami mahu bawa untuk ceramah agama kami?”

“Ya, betul kami menganjurkan ceramah Dr Zakir Naik. Namun tiada pihak atau penganjur yang memaksa atau mewajibkan mana-mana penganut agama lain mahupun penganut agama Islam untuk menghadiri ceramah tersebut dan kalau ada yang tidak suka, tak usah datang. Jadi apa yang saudara masih tidak berpuas hati,”katanya.

Menurutnya, selaku seorang peguam seharusnya beliau mendapatkan fakta yang betul sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap sesiapapun.

Menurut beliau, untuk makluman Waytha Moorthy, belum ada mana-mana mahkamah di dunia yang mengesahkan atau memberi keputusan bahawa DZN adalah pengganas atau terlibat dengan mana-mana aktiviti pengganas. Cuma musykil bila masa Waytha Moorthy menukar pekerjaan dari peguam kepada hakim untuk memberi keputusan bahawa DZN terlibat dengan golongan pengganas?

“Seseorang yang dituduh mencuri bukanlah seorang pencuri sehingga mahkamah membuktikan dan menjatuhkan hukuman bahawa orang itu mencuri.”

“Sama juga hanya disebabkan ada pihak yang menuduh DZN pengganas atau menyokong aktiviti pengganas tidak bermakna beliau melakukannya sehingga mahkamah membuktikan atau menjatuhkan hukuman.”

Katanya, takkanlah hanya disebabkan ada penganas yang menyimpan atau mempunyai CD ceramah DZN maka ia bermaksud DZN yang menyebabkan mereka mengganas. Kalau ada pengganas yang mempunyai CD Micheal Jackson, adakah bermaksud MJ juga menyebabkan mereka mengganas? Logik apa yang digunakan oleh Waytha Moorthy yang semakin cetek pemikirannya.

Muhammad Zamri berkata, beliau tidak menyangka seorang peguam yang seharusnya bijak seperti Waytha Moorthy juga boleh termakan dengan kata-kata mereka yang kurang bijak di media massa.

Beliau ingin mencabar pemimpin Hindraf itu untuk mengemukakan satu bukti dari mana-mana ucapan atau ceramah DZN yang mana DZN menyokong atau menyuruh sesiapa untuk mengganas. “Jika tidak dapat memberikan bukti maka saya ingin nasihatkan, dari saudara menimbulkan dan mencetuskan kebencian orang Hindu terhadap orang Islam lebih baik mencari jalan untuk membantu masyarakat Hindu yang masih susah dan memerlukan bantuan bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.”

“Saya juga mencabar Waytha Moorthy untuk datang ke pejabat saya berjumpa terus dengan saya. Tidak kisahlah untuk dia berdakwah menceritakan agama Hindu kepada saya, saya akan sambutnya dengan tangan terbuka,” katanya.

Beliau berharap Waytha Moorthy segera mengurangkan kontroversi dan meningkatkan prestasi dalam membantu masyarakat India di Malaysia. “Itupun jika beliau benar-benar ikhlas mahu membantu mereka,” katanya.

Comments