Home Tempatan Zamihan Tidak Menghasut, Tidak Perlu Direman – Concerned Lawyers for Justice (CLJ)

Zamihan Tidak Menghasut, Tidak Perlu Direman – Concerned Lawyers for Justice (CLJ)

SHARE

Kuala Lumpur: Kenyataan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari yang sedang ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan di bawah seksyen 4A Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya yang menegur sultan sebuah negeri, berhubung isu dobi mesra muslim, tidak berunsur hasutan, kata Concerned Lawyers for Justice (CLJ) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Malah badan aktivis peguam itu juga berpandangan pendakwah tersebut tidak sepatutnya ditahan reman selama dua hari kerana pernyataan yang dibuat beliau sudah berada di domain awam, iaitu laman YouTube.

“Di bawah seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948, cemuhan terhadap Raja sememangnya telah ditakrifkan sebagai hasutan.

“Walau bagaimanapun, peruntukan ini tidak boleh dibaca secara sekerat sahaja, sebaliknya perlu dibaca secara menyeluruh, di mana seksyen 3(2) Akta Hasutan seterusnya memperuntukkan pengecualian daripada kesalahan menghasut, bagi seseorang rakyat yang menegur kesilapan seseorang raja. Seksyen tersebut memperuntukkan seperti berikut:-

“…sesuatu perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain TIDAK BOLEH DISIFATKAN SEBAGAI MENGHASUT semata-mata oleh sebab perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain itu mempunyai kecenderungan — (a) bagi menunjukkan bahawa mana-mana Raja telah dikelirukan atau tersilap dalam apa-apa langkah yang diambil olehnya…”

Oleh itu, “…setelah meneliti dan mencermati sepatah demi sepatah kata-kata yang diungkapkan oleh Ustaz Zamihan, tidaklah boleh ianya dikatakan sebagai berunsur hasutan. Hal ini demikian memandangkan beliau semata-mata mengemukakan pandangan dan pendapatnya, berasaskan kepada bidang keilmuannya, berkenaan dengan hukum-hakam fiqh berkaitan wacana kesucian dalam Islam.

“Justeru, Ustaz Zamihan semata-mata membangkitkan teguran kepada sultan, berasaskan kepada disiplin keilmuan, mengenai apa yang beliau percaya dengan suci hati sebagai kekhilafan di pihak sultan sebuah negeri. Sama ada tegurannya itu benar atau tidak, itu adalah isu berlainan, yang boleh dibahaskan secara akademik; tetapi apa yang pasti, ianya jatuh di bawah pengecualian yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3(2) Akta Hasutan yang disebutkan di atas tadi, dan oleh yang demikian, tidaklah boleh dianggap sebagai hasutan.”

CLJ juga mengingatkan bahawa, “Sungguhpun di bawah Kanun Acara Jenayah, pihak polis sememangnya diberi kuasa menahan reman selama tempoh tidak lebih daripada 4 hari untuk permohonan pertama, [3] tetapi ini hanya terpakai sekiranya penahanan itu diperlukan untuk membantu siasatan pihak polis. Dalam kes Ustaz Zamihan ini, kenyataannya telah pun terbit dalam laman YouTube, dan sudah berada dalam domain awam. Justeru jika polis ingin menyiasat kenyataan tersebut, ia boleh dicapai di internet tanpa perlu menahan reman Ustaz Zamihan. Jika ingin juga menahan Ustaz Zamihan, maka sepatutnya beliau dipertuduhkan terlebih dahulu di Mahkamah, supaya ketika itu beliau mempunyai hak untuk membuat permohonan ikat jamin.

“Perlu diingat, seseorang yang ditahan reman belum pun lagi dibicarakan dan dibuktikan bersalah oleh Mahkamah. Dia hanya ditahan untuk membantu siasatan oleh pihak polis sahaja. Dia akan terus kekal tidak bersalah di sisi undang-undang, selagi dia belum dibuktikan sebagai bersalah di Mahkamah. Justeru, melainkan terdapat sesuatu sebab kukuh untuk dia dinafikan kebebasannya (seperti untuk membantu siasatan polis), maka dia tidak sepatutnya ditahan.”

CLJ menegaskan walaupun tidak menyokong kenyataan yang diungkap oleh Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari, namun CLJ juga insaf bahawa seseorang raja atau sultan atau pemerintah itu tidaklah suci sehingga tidak boleh ditegur langsung.

“Barang elok diingat semula titah Sultan Nazrin Shah dalam Konvensyen Perkukuh Pasak Negara beberapa bulan yang lalu.

““Islam menyuntik dimensi baru kepada tatacara pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan syariah; menegaskan dua konsep, adil dan muafakat. Islam menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan …. Nyatalah Raja mendukung amanah berat; peranannya bukan sahaja dinilai oleh warga di dunia ini, tetapi akan turut diadili di Padang Mahsyar nanti. Di Mahkamah Rabbuljalil, berhadapan ALLAH Yang Maha Esa, Raja ketika itu sudah tidak ada Peguam Negara; ketika itu Raja juga bergantung kepada amar ma’ruf yang telah disempurnakan untuk menjadi Peguam Belanya.”

Comments