Home Tempatan Zakir Naik Membawa Misi Keamanan – Khairuddin Takiri

Zakir Naik Membawa Misi Keamanan – Khairuddin Takiri

SHARE

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan memberi taraf Penduduk Tetap (PR) dan melindungi pendakwah Islam yang membawa misi kedamaian seperti Dr Zakir Naik adalah tepat dan benar memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.
 
Menurutnya, dakwah Dr Zakir menimbulkan kecemburuan banyak pihak di peringkat antarabangsa sehingga dicipta dan direka pelbagai tohmahan bagi menimbulkan persepsi terhadap dakwah harmoni yang dibawa beliau.
 
Khairuddin berkata, kenyataan seorang Menteri yang mempertikai pemberian taraf pemastautin tetap kepada Dr Zakir sangat mengecewakan dan sekaligus menunjukkan kegagalan dalam kebertanggungjawaban bersama oleh menteri kerajaan dalam membuat keputusan.
 
“Saya bimbang ada menteri kerajaan yang sudah mengikut rentak politik DAP, mempertikaikan sesuatu yang berkaitan dengan Islam dan dakwah Dr Zakir yang tidak ada salahnya di mana pun,” katanya.
 
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi menafikan dakwaan dengan menyatakan Zakir Naik bukanlah warganegara Malaysia. “Beliau menerima status PR itu sejak kira-kira lima tahun lalu. Saya ingin mengesahkan Zakir Naik memiliki status PR di Malaysia, tetapi dia bukan warganegara Malaysia,“ kata Zahid Hamidi.
 
“Dia sudah memegang status itu sebelum saya menjadi Menteri Dalam Negeri lagi,” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC) 2017 baru-baru ini.
 
Beliau mengesahkan perkara tersebut susulan laporan Hindustan Times di India pada November 2016, menyatakan Zakir Naik telah diberi kerakyatan Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memaklumkan bahawa Zakir Naik dibenarkan masuk ke negara ini kerana tidak tersenarai sebagai entiti pengganas dalam undang-undang antarabangsa.

Menurut KDN, nama Zakir Naik tidak terkandung dalam senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) 1988 dan UNSCR 1267.

Comments