Home Tempatan Zakir Naik ke Perlis, Isma minta semua berlapang dada

Zakir Naik ke Perlis, Isma minta semua berlapang dada

Timbalan Presiden Isma Aminuddin Yahaya berkata semua pihak harus berlapang dada dengan kehadiran penceramah kontroversi itu dan tidak membesarkan isu yang boleh memecahkan umat Islam.

SHARE

PETALING JAYA: Walaupun Dr Zakir Naik dikaitkan dengan dakwaan penyebaran aliran wahabi, kehadirannya ke Perlis perlu dilihat dari sudut positif, kata Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Timbalan Presiden Isma Aminuddin Yahaya berkata semua pihak harus berlapang dada dengan kehadiran penceramah kontroversi itu dan tidak membesarkan isu yang boleh memecahkan umat Islam.

“Mungkin ada yang melihat pandangan dibawa beliau wahabi dan sebagainya. Tetapi dalam konteks sekarang ini, kita tidak seharusnya membesarkan isu yang boleh memecahkan umat Islam.

“Pendekatannya bukanlah yang boleh memecahbelahkan atau ekstrem. Zakir Naik sudah banyak berdakwah dan banyak orang masuk Islam di tangan dia.

“Kita tidak ada masalah, banyak manfaatnya dan kehadirannya yang pertama jelas menarik puluhan ribu orang. Kita kena berlapang dada,” katanya kepada FMT, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Zakir yang juga penerima Tokoh Maal Hijrah 2013 akan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negeri di Arau, Perlis pada 10 Februari yang akan disiarkan secara langsung di Facebook.

Sebelum ini, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin memuat naik poster kehadiran Zakir di laman Facebook, di mana Zakir digambarkan sebagai “penyelidik dan penyeru kepada Islam”.

Aminuddin berkata walaupun tidak mengetahui tajuk dan isi kandungan khutbah yang akan dibaca Zakir, beliau percaya ruang dan peluang harus tetap diberikan kepada penceramah luar.
“Saya tidak pasti apa tajuknya tetapi banyak lebih kepada kefahaman di antara agama. Kelebihannya di situ. Yang wajib dilakukan adalah doa kepada sultan dan pemerintah.

“Kita perlu buka sedikit (ruang) kepada penceramah yang ingin berkhutbah. Tidak ada masalah jika tiada perpecahan,” katanya.

Tahun lepas, Zakir menjadi tajuk utama selepas Hindustan Times melaporkan beliau memegang 2 kerakyatan iaitu India dan Malaysia.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri menafikan dakwaan itu.

Zakir, 51, juga dilaporkan diburu Direktorat Penguatkuasaan India kerana dipercayai terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Agensi Siasatan Kebangsaan republik itu juga sedang menyiasat 78 akaun bank dan pelaburan berjumlah RS100 crore (RM65 juta) yang dikaitkan dengannya, seperti dilaporkan NDTV.

Bagaimanapun, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid menyifatkan beliau sebagai pendakwah yang dihormati manakala Mufti Perak Tan Sri Harussani juga mempertahankan Zakir daripada pengkritik.

Free Malaysia Today

Comments