Home Tempatan Zakat memberkati harta dan menenangkan hati – Mufti WP

Zakat memberkati harta dan menenangkan hati – Mufti WP

SHARE

KUALA LUMPUR: Pemberian zakat akan menjadikan harta seseorang diberkati, subur dan baik selain menjadikan hati tenang dan sentiasa senang.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, ia sekali gus dapat mensucikan diri pemberi zakat, harta dan menjauhkan sifat kebakhilan dalam sikap manusia.

Ujarnya, zakat menjadikan kehidupan manusia stabil, mengurangkan kadar jenayah, menanam rasa kemanusiaan selain menyemai sifat menghormati serta mengasihi.

“Zakat ini juga kalau kita lihat dia memberi kesan yang cukup besar tatkala seseorang yang berzakat ini akan diberkati Allah, rezekinya juga akan disuburkan dan diberi kelebihan yang kita tidak sangka sama sekali.

“Bahkan kadang-kadang keberkatan zakat dapat difahami selepas fasa pemberian zakat,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di sini.

Jelasnya, zakat merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang teramat banyak disinonimkan dan digandingkan dengan solat.

Katanya, pelaksanaan zakat itu mempunyai hubungan baik dengan manusia.

“Dengan sebab itu masyarakat yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat akan mendapat satu natijah yang cukup baik selain melahirkan negeri yang cemerlang.

“Sebenarnya zakat dari segi bahasa membawa makna subur, suci, membiak dengan baik dan memberi maksud positif serta kelebihan yang tersendiri.

“Benarlah satu hadis yang mengatakan malaikat pada waktu pagi dan malamnya ada yang berdoa khusus kepada pemberi zakat dan sedekah,” ujarnya.

Tambah Zulkifli, zakat akan digantikan dengan ganjaran serta gantian selain golongan yang kedekut akan dilupuskan hartanya.

“Zakat sebenarnya diwajibkan kepada mereka yang cukup syarat, ada harta yang melebihi nisab, cukup haul tahunannya dan maka apabila cukup semuanya, wajib umat Islam tunaikan zakat.

“Malah ia akan jadi sesuatu yang kita sentiasa semak dan lihat agar harta kita tidak termasuk dalam yang layak dizakat tetapi tidak mengeluarkan zakat,” katanya.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments