Home Tempatan Zahid anggap ‘kartun sindiran’ tidak sesuai dengan budaya Malaysia

Zahid anggap ‘kartun sindiran’ tidak sesuai dengan budaya Malaysia

SHARE

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ‘kartun sindiran’ tidak sesuai dengan budaya Malaysia.

Beliau merujuk tindakan kementerian dalam negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab dan memanggil ketua pengarang akhbar Nanyang Siang Pau 11 April lalu susulan penerbitan karikatur yang didakwa menghina Presiden PAs Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Jika kita orang yang berilmu, janganlah gunakannya untuk menyindir orang lain walau dalam bentuk satira. Gunakan intelektual untuk kongsi bersama (pengetahuan), bukan untuk memperlekeh orang lain.

“Itu dipanggil ‘egoisme intelektual’. Ia mungkin diizinkan dalam budaya lain tetapi dalam budaya Malaysia, tak perlu ada perkara sedemikian,” katanya ketika ditanya pemberita dalam sidang media selepas menyampaikan syarahan “Budaya Ilmu Kekuatan Negara” di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), hari ini.

Pada 8 April lalu, ruang kartun akhbar itu memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” dan seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan PAS, sehingga mengadakan demonstrasi di pejabat akhbar itu keesokannya dan menyatakan 4 tuntutan, antaranya memohon maaf secara terus kepada Hadi.

Nanyang kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pandikar dan Hadi di akhbarnya, serta menurunkan kartun tersebut dari laman webnya, eNanyang.my.

Walaupun dengan permohonan maaf itu, PAS melalui Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata mungkin menyaman akhbar itu, dan mendesak KDN mengkaji semula permitnya.

Dalam syarahannya, Zahid turut menyentuh perkara itu dengan berkata kartun satira mudah disalahfaham oleh khalayak di Malaysia.

“Jika sesuatu yang baik dikarikaturkan dengan bahasa sinis dan dalam bentuk satira, ia menjadi ilmu (perkara) baru dan memberi kesan kepada orang.

“Jangan apabila orang menganggap kita sebagai profesional (dan intelektual) yang seronok melihat orang lain susah dan berpecah,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments