Home Tempatan Zahid: 300 Rohingya mula kerja di Malaysia bulan depan

Zahid: 300 Rohingya mula kerja di Malaysia bulan depan

SHARE

PUTRAJAYA: Projek Perintis Kebenaran Bekerja untuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) etnik Rohingya akan bermula 1 Mac ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata, projek perintis itu akan membolehkan 300 pemegang kad UNHCR etnik Rohingya yang melepasi tapisan keselamatan dan saringan kesihatan untuk bekerja secara berperingkat.

“Mereka ini akan ditempatkan di syarikat terpilih dalam sektor perladangan dan pengilangan bertujuan memberikan kemahiran dan sumber kewangan bagi mereka membina kehidupan sebelum ditempatkan semula ke negara ke-3,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Mengenai Isu-isu Berkaitan UNHCR di Perdana Putra, hari ini.

Zahid berkata, inisiatif membenarkan etnik Rohingya bekerja secara tidak langsung dapat menangani isu pemerdagangan orang dengan lebih berkesan.

Selama ini, katanya, ketiadaan status imigresen untuk etnik Rohingya menjadikan mereka golongan berpotensi dieksploitasi pihak tertentu sebagai buruh paksa dan pekerja tidak sah di negara ini.

Zahid berkata, sehingga 31 Disember 2016, seramai 149,474 pemegang kad UNHCR dari 62 negara direkodkan di Malaysia.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 133,517 atau 89% dari Myanmar, dengan 55,565 orang daripadanya terdiri daripada etnik Rohingya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan sentiasa mencari pendekatan terbaik menguruskan pemegang kad UNHCR walaupun negara ini tidak menjadi ahli Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

“Pendekatan terbaik yang digunakan adalah berdasarkan rasa perikemanusiaan yang dizahirkan melalui bantuan dan sokongan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, antara usaha lain yang dilaksanakan termasuk menambah baik Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 23 tahun 2009 mengenai pemegang kad UNHCR bagi memastikan pengurusan pemegang kad itu lebih kemas dan teratur.

Zahid berkata, MKN sedang menambah baik Arahan No 23 itu bagi menyesuaikannya dengan perkembangan semasa dan situasi pergerakan tidak sah pendatang di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, beliau berkata, pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) turut digunakan dalam menguruskan isu pelarian dengan lebih berkesan melalui penubuhan pasukan petugas bersama (JTF) Malaysia.

“JTF ini melibatkan kerjasama 6 kementerian utama dengan pihak UNHCR untuk memastikan kesahihan pemegang kad UNHCR adalah mereka yang benar-benar sah diperakukan,” katanya.

Tambahnya, Malaysia sentiasa menjalinkan kerjasama rapat dengan UNHCR sebagai badan utama yang mengendalikan pelarian di bawah PBB.

Free Malaysia Today

Comments