Home Tempatan Wujudkan Undang-Undang Spesifik Tangani Berita Palsu

Wujudkan Undang-Undang Spesifik Tangani Berita Palsu

SHARE

Seorang pembaca portal Malaysiakini, Muzaffar Syah Mallow mencadangkan kepada kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan undang-undang spesifik bagi menentang berita palsu (fake news) seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri Perancis Emmanuel Macron.

“Walaupun kita (Malaysia) sudah mempunyai beberapa undang-undang untuk menanganinya seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Fitnah (Akta 286), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan undang-undang berkaitan yang lain, dengan adanya undang-undang spesifik bagi menangani masalah berita palsu (fake news), ia akan lebih membuatkan orang ramai memahami dan mengikutinya.”

Tambahnya lagi, dengan kebangkitan media sosial, berita palsu (fake news) tidak lagi boleh dilihat sebagai satu isu kecil yang hanya akan memberi kesan kepada negara-negara tertentu. Oleh itu, Malaysia perlu bersiap sedia dengan menyediakan undang-undang spesifik bagi menangani isu ini sebelum ia merebak tanpa kawalan.

“Dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia, penyebaran berita palsu tanpa kawalan boleh mengganggu gugat keharmonian masyarakat yang dinikmati selama ini semenjak zaman kemerdekaan.”

“Dengan adanya undang-undang spesifik, ia akan dapat memastikan semua orang mengambil berat mengenai isu ini (penyebaran berita palsu) dan mendorong mereka mengambil langkah serta-merta bagi menghalang dan melaporkan mengenai apa-apa berita yang dirasakan sebagai palsu. Bahkan, dalam jangka masa panjang, ia juga akan mendorong masyarakat menghormati berita yang sahih dan berhati-hati dalam menyebarkan sebarang berita yang diterima,” kata Muzaffar lagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak sebelum ini berkata, kerajaan Malaysia telah mengambil pendekatan berbilang serampang dalam menangani gejala penularan kandungan serta berita palsu di platform media sosial, laman sesawang dan internet amnya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan.

Comments