Home Tempatan Wujudkan panel khas pantau tender, pengesahan pencetak

Wujudkan panel khas pantau tender, pengesahan pencetak

SHARE
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) memandang serius kes penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam percetakan al-Quran serta kitab, sekali gus mengingkari pekeliling Kementerian Kewangan.

Presidennya, Muhammed Farhan Basheer Ahamed, berkata penyalahgunaan kuasa oleh pencetak menyebabkan kesucian cetakan kitab suci itu dan buku agama lain tidak terpelihara, selain harga jualan mahal dengan mutu rendah.

“Proses sebelum, ketika dan selepas bagi percetakan al-Quran serta kitab agama perlu ada prosedur yang jelas, telus dan perlu dipatuhi.

“Hanya ahli PPPMM yang arif dengan prosedur ini dan akan mematuhinya.”

“PPPMM mencadangkan panel khas diwakili ahli persatuan itu bersama pegawai Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diwujudkan bagi memantau tender serta pengesahan pencetak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu mengulas penahanan dua pegawai Pendidikan Agama Daerah Johor Bahru oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, kerana disyaki menerima rasuah daripada syarikat yang mencetak buku bagi Sekolah Agama Rakyat Negeri Johor.

Muhammed Farhan berkata, JAINJ perlu meneliti Pekeliling Kementerian Kewangan yang menyebut tender mencetak al-Quran dan kitab agama mesti diberi kepada syarikat pencetak Bumiputera Islam.

Beliau yang juga Pengerusi Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, mahu PPPMM dijadikan tempat rujukan jika agensi dan jabatan kerajaan serta sektor swasta mahu mencetak naskhah al-Quran mahu pun kitab bagi memastikan syarikat pencetak itu berkelayakan.

“Hantar faks atau emel kepada PPPMM mengenai maklumat syarikat pencetak yang dipilih supaya kami boleh mengesahkan status keahlian atau memantau proses percetakannya.”

“Apa yang penting ialah seluruh proses percetakan dilakukan secara telus, mematuhi prosedur dan etika yang dapat memelihara menjamin kesucian serta kemuliaan semua kitab yang dicetak,” katanya.

Berita Harian

Comments