Home Antarabangsa Wanita UK saman bekas majikan selepas dipanggil pengganas kerana bertudung

Wanita UK saman bekas majikan selepas dipanggil pengganas kerana bertudung

Majikan mendakwa pekerja kulit putih dan bukan Islam di situ 'rasa bimbang dan takut apabila terpandang wanita bertudung hitam'.

SHARE

PETALING JAYA: Seorang wanita Islam Britain menyaman bekas majikannya selepas diarah menanggalkan tudung hitamnya kerana ia dikatakan menyerupai pengganas.

Akhbar The Independent melaporkan, wanita yang tidak mahu dinamakan itu bekerja dengan sebuah agensi hartanah hampir setahun apabila pengurusnya mula menimbulkan isu tudung tersebut.

Dia yang memfailkan aduan ke Tribunal Pekerjaan Manchester berkata ruang kerjanya dipindahkan dari bahagian belakang ke pandangan umum dengan tujuan “menjadi kepentingan perniagaan untuk dia mengubah warna tudungnya kerana pengganas sering dikaitkan dengan warna hitam”.

Rakan sekerjanya mendakwa kebanyakan pekerja kulit putih dan bukan Islam di syarikat itu “rasa bimbang dan takut apabila terpandang wanita itu”.

Bagaimanapun, wanita itu berkata dia tidak bersedia menukar cara berpakaian atas alasan yang diberikan.

Wanita itu menceritakan dia enggan menerima arahan melalui panggilan telefon dan mesyuarat yang diadakan oleh pengurus lelaki yang kemudian membawa tudung berwarna dan mendesak supaya dia menukarnya.

Beberapa jam kemudian, wanita itu juga ditegur kerana menghantar mesej kepada bapanya.

Laporan tribunal itu mendedahkan pengurus itu menyuruh wanita itu berhenti kerja.

Semasa wanita itu sedang rehat untuk makan tengah hari pengurusnya berkata: ‘Get the f *** out of here.’ (Berambus kamu dari sini).”

Wanita itu menyerahkan surat peletakan jawatan seminggu kemudian.

“Saya terkejut dengan apa yang mereka dakwa dan alasan yang diberikan,” katanya.

Dia menuduh syarikat tersebut mengamalkan dskriminasi berdasarkan agama dan jantina.

Aduan tribunal berpendapat layanan terhadap wanita itu mencipta “persekitaran yang menakutkan, bermusuhan, merendahkan, memalukan dan menyinggung perasaan” dan ia menyalahi undang-undang.

Kes itu akan dipertimbang untuk pendengaran awal di Tribunal Pekerjaan Manchester pada 20 Julai ini. Ia boleh menyebabkan majikannya membayar ganti rugi besar dan pampasan yang meliputi kehilangan pendapatan, bayaran gaji bercuti dan bayaran guaman.

Free Malaysia Today

Comments