Home Antarabangsa Wanita Palestin jadi hamba di Israel

Wanita Palestin jadi hamba di Israel

SHARE

RAMALLAH: Wanita Palestin dari Tebing Barat diperdaya menjadi hamba dengan berkhidmat sebagai pembantu di rumah penduduk Israel walaupun pada asalnya direkrut untuk bekerja di ladang.

Masalah kewangan mendesak menjadikan wanita sebagai mangsa mudah kepada majikan dan agensi pekerjaan Palestin.

“Wanita berkenaan pada asalnya direkrut bekerja dalam bidang pertanian tetapi dipaksa menjadi pembantu rumah.

“Jika enggan, mereka dipecat dan tidak akan diberi lagi permit untuk bekerja di wilayah dijajah Israel,” kata Setiausaha Agung Kesatuan Perdagangan dan Buruh Persekutuan Palestin, Shaher Sa’ad.

Masalah semakin buruk kerana sebahagian wanita yang bekerja di ladang ini dibawa memasuki wilayah jajahan Israel tanpa permit kemasukan kerana melepasinya dengan kenderaan majikan.

“Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA) tidak boleh memantau perkembangan ini kerana ia adalah hubungan secara langsung majikan dan pekerja.

“Wanita Palestin menjadi mangsa majikan di wilayah jajahan dan ejen mereka terutama berkaitan gaji dan tempoh bekerja,” kata Sa’ad kepada Gulf News.

Pekerja sepatutnya menerima bayaran AS$53 (RM235) sehari, namun ejen cuma memberi mereka AS$21 (RM93) dan menyimpan bakinya.

“Ini jelas satu bentuk perhambaan kerana pekerja wanita Tebing Barat tidak sepatutnya dan tidak pernah mahu menjadi pembantu rumah.

“PNA, kerajaan Palestin dan sindiket perlu memantau keadaan pekerja wanita yang semakin teruk di Tebing Barat,” katanya. – GULF NEWS

Berita Harian

Comments