Home Antarabangsa Wanita Arab Saudi dibenar berniaga tanpa kebenaran lelaki

Wanita Arab Saudi dibenar berniaga tanpa kebenaran lelaki

SHARE

RIYADH: Wanita Arab Saudi kini dibenar memulakan perniagaan tanpa perlu meminta kebenaran suami atau mahram, dalam usaha kerajaan merancakkan lagi pembangunan sektor swasta.

Perubahan dasar yang diumumkan kerajaan Arab Saudi pada Khamis lalu itu disifatkan sebagai satu langkah besar berbanding amalan sistem mahram ketat sejak berdekad lalu.

“Wanita kini boleh memulakan perniagaan mereka sendiri dan mendapat manfaat daripada e-perkhidmatan kerajaan tanpa perlu kebenaran daripada penjaga,” kata kementerian perdagangan dan pelaburan di laman webnya.

Di bawah sistem mahram Arab Saudi, wanita dikehendaki mengemukakan bukti kebenaran daripada seorang lelaki ‘penjaga’, biasanya suami, bapa atau saudara lelaki untuk menyempurnakan sebarang dokumen kerajaan, perjalanan atau mendaftar di kelas.

Bergantung sekian lama kepada pengeluaran mentah sebagai sumber ekonomi, Arab Saudi sedang berusaha untuk mengembangkan sektor swasta negara, termasuk memperluaskan peluang pekerjaan kepada wanita di bawah pelan pembaharuan era pasca minyak.

Walaupun wanita masih berdepan pelbagai sekatan dalam kerajaan Muslim ultra konservatif itu, pejabat pendakwa raya Arab Saudi bulan ini berkata ia akan mula merekrut penyiasat wanita buat kali pertama.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Berita Harian

Comments