Home Tempatan Wajibkan sekolah tahfiz, pondok berdaftar

Wajibkan sekolah tahfiz, pondok berdaftar

SHARE

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyarankan pengendali sekolah tahfiz dan pondok diwajibkan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan.

Di samping itu, Kabinet wajar membincangkan aspek keselamatan di institusi berkenaan, sekali gus memperkenalkan dasar khusus untuk memastikan keselamatan sekolah tahfiz seluruh negara.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pihaknya sering membangkitkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan di sekolah agama kerana kebanyakan institusi itu tidak berdaftar dengan mana-mana badan atau agensi.

Beliau berkata, kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat Hujung di sini awal pagi tadi yang mengorbankan 24 mangsa wajar menjadi pengajaran dan iktibar kepada semua pihak.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji isu itu secara mendalam dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

“Dilaporkan terdapat 519 sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara hingga April lalu namun lebih banyak lagi dipercayai tidak berdaftar.

“Selepas semua didaftarkan di bawah kementerian atau pihak berkuasa lain, kerajaan perlu mewajibkan audit keselamatan secara komprehensif dibuat ke atas sekolah terbabit dan kemudahan asrama disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, pihak berkuasa juga perlu menjalankan pemeriksaan keselamatan setiap tahun terutama di sekolah yang berusia lebih 20 tahun.

Beliau berkata, jika audit berkenaan mendapati aspek keselamatan sekolah dikompromi, tindakan segera boleh diambil untuk membetulkan keadaan.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Berita Harian

Comments