Home Tempatan Wajibkan pekerja asing lulus Bahasa Melayu

Wajibkan pekerja asing lulus Bahasa Melayu

SHARE

KUALA LUMPUR 15 April – Warga asing yang diambil untuk berkerja di negara ini wajib mempelajari dan boleh bertutur di dalam Bahasa Kebangsaan sebelum layak menerima pas pekerja, dalam usaha memperkasakan bahasa itu.

Perkara itu disuarakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, yang mahukan kerajaan memperkenalkan peperiksaan bahasa sebelum membenarkan seseorang warga asing itu diterima bekerja di dalam Malaysia.

“Perkara ini memang menjadi kebiasaan di mana-mana negara yang mewajibkan warga asing memahami dan boleh bertutur bahasa tempatan sebelum kerajaan mengeluarkan pas pekerja.

“Malah perkara yang sama boleh dilakukan terhadap pelajar-pelajar asing yang mewajibkan mereka mempelajari Bahasa Kebangsaan,” katanya semasa pembentangan Resolusi Kongres Budaya 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini hari ini.

Katanya, pendekatan itu merupakan antara usaha untuk mentaati Perlembagaan Negara yang mengutamakan bahasa kebangsaan.

utusan online

Comments