Home Tempatan Wacana demokrat Muslim

Wacana demokrat Muslim

SHARE
Azmin Ali

MUSLIM di seluruh dunia hari ini berdepan dengan pelbagai persepsi negatif apabila pelbagai konflik wujud termasuklah kegiatan kelompok radikal yang mengatas namai Islam. Kekejaman bahkan pembunuhan dilakukan bukan sahaja terhadap mereka yang bukan Islam, tetapi di antara Muslim sendiri. Sementara Islam adalah agama yang damai.

Bertitik tolak daripada kesedaran dan cabaran ini, timbul keinsafan dalam kalangan pemimpin Islam untuk menggerakkan dialog dan wacana mengenai demokrasi di dunia Islam. Wacana ini adalah sebagai usaha agar dunia Islam juga tidak terpencil daripada wacana demokrasi dunia.

Suara dunia Islam juga wajar dilihat dapat menyumbang kepada peradaban manusia, selain dalam masa sama adalah tidak wajar demokrasi hanya ditentukan semata-mata oleh Barat sahaja.

Namun, peranan dan ikhtiar untuk menyemarakkan dialog ini tidak boleh dibebankan hanya di bahu pimpinan politik. Usaha ini harus juga mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat Muslim termasuklah para ulama, budayawan, ilmuwan, ahli akademik, pelajar bahkan meliputi seluruh masyarakat Muslim itu sendiri.

Tanpa kesedaran bersama dan usaha bersepadu, maka ia juga akan dilihat sangat eksklusif sedangkan cabaran datang dari segenap penjuru.

Demokrasi sudah tentu mempunyai nilai sejagat seperti nilai keadilan dan kebebasan. Dalam waktu sama, para demokrat Muslim juga haruslah menyedari tatkala kita mengusung nilai sejagat itu, nilai tempatan seperti persoalan identiti, kebudayaan dan kenegaraan tidak boleh dikesampingkan.

Inilah langkah pertama bagi memastikan demokrasi dalam berfungsi di dalam wilayah-wilayah atau negara majoriti Muslim.

Kita dapat lihat bagaimana usaha untuk menerapkan demokrasi akhirnya hanya dilihat sebagai hal asing atau “nilai Barat” apabila penerapan itu tidak mengambil kira aspek setempat. Sebagai contoh, Muslim di Asia Tenggara tentulah mempunyai wajah dan identiti kebudayaan yang berbeza berbanding saudara Muslim di benua-benua lain. Muslim di Nusantara tentunya mempunyai perbezaan identiti dengan saudara-saudara kita di Afrika, Pakistan, benua Arab, Eropah, Amerika dan di mana jua pun.

Di sinilah usaha saling kenal-mengenal bukan sahaja wujud dalam kalangan Muslim dengan penganut agama lain, tetapi saling kenal-mengenal itu juga perlu di antara masyarakat Muslim itu sendiri.

Usaha sebegini tiada penghujungnya dan wajarlah akhirnya terbingkai dalam semangat persaudaraan yang kuat untuk berpimpin tangan menyumbang ke arah keamanan dunia.

Demokrasi juga bukanlah alasan untuk seorang warganegara terhakis semangat kecintaan kepada tanah air. Mencintai tanah air adalah sebahagian daripada nilai serta jati diri seorang demokrat Muslim. Menjaga maruah dan kedaulatan negara daripada ancaman luar tidak boleh dipandang enteng.

Tanpa niat memusuhi mana-mana pihak dan bangsa-bangsa lain, adalah menjadi tanggungjawab kepada seorang demokrat tulen bagi memastikan tidak wujudnya penindasan oleh pihak asing kepada rakyat kita sendiri.

Penindasan dan ketidakadilan pula wujud dalam pelbagai bentuk. Paling ekstrem ialah dengan lahirnya kelompok radikal yang sanggup membunuh manusia tanpa jalan perundangan yang sah dan adil. Namun, ketidakadilan juga boleh wujud di lapangan ekonomi apabila adanya perjanjian berat sebelah antara dua negara yang menjalinkan usaha perdagangan.

Demikian setiap langkah yang diambil haruslah benar-benar demi menjaga kepentingan negara dan semua rakyat. Di Malaysia, seorang pemimpin Muslim wajarlah menyedari bahawa keadilan itu harus dituntaskan bukan sahaja kepada warganegara yang beragama Islam, tetapi turut wajib dipelihara hak-hak warganegara yang bukan Muslim.

Inilah caranya untuk menjadikan pimpinan Muslim dihormati. Akhirnya nanti, inilah juga sebahagian daripada usaha dakwah bagi memperlihatkan kepada semua bahawa agama Islam membawa rahmat kepada sekalian alam.

Wacana demokrasi adalah wacana kita bersama.

* Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor.

Sinar Online

Comments