Home Tempatan Vistana Kuantan Larang Wanita Bertudung Berenang?

Vistana Kuantan Larang Wanita Bertudung Berenang?

SHARE

Kuala Lumpur: Penggunaan pakaian wanita Muslimah dan juga tudung spesifik kepada agama Islam dan apabila pihak hotel hanya meletakkan papan tanda yang melarang pengguna pakaian Muslimah serta tudung sahaja, ianya jelas merupakan satu bentuk mesej yang hanya mengambarkan Islamofobia, demikian menurut Presiden The International Women’s Alliance for Family and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Justeru beliau memohon supaya semua pihak berkuasa, Majlis Raja-Raja dan pihak perhotelan Malaysia memandang serius isu larangan pakaian Muslimah dan memastikan tiada hotel lain yang menggunakan papan tanda bersimbol mengelirukan sebegini lagi.

Menurut Dr Rafidah Hanim lagi, isu ini sebenarnya diangkat daripada seorang rakan Facebooknya yang mendedahkannya di laman sosial miliknya baru-baru ini.

Dr Rafidah Hanim kemudiannya menghubungi pihak hotel dan bertanya kepada pihak Hotel Vistana di Kuantan mengenai papan tanda berkenaan.

Beliau juga menyatakan bahawa, pihak hotel juga sudah memberi maklum balas dan menyatakan poster itu dibenarkan.

“Apakah masalah bagi pakaian dan tudung Muslimah jika material yang digunakan telah pun memenuhi syarat seperti Scuba Polyester?” soal Dr Rafidah Hanim.

Menurutnya, penggunaan simbol yang berkaitan agama sebegini boleh menggugat isu perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan rakyat berbilang agama dan kaum di negara ini, apabila hijab dan pakaian menutup aurat yang merupakan lambang spesifik kepada wanita Islam dijadikan bahan larangan.

Dr Rafidah Hanim juga berpendapat bahawa mesej yang ingin dibawa perlu lebih jelas dan tidak memfokuskan Muslimah semata-mata.

“Sebaiknya pihak hotel perlu memberi mesej yang lebih jelas dengan menyatakan bentuk pakaian dan material yang dibenarkan untuk semua pengguna. Jika fokus kepada Muslimah, paparkan sahaja pakaian renang Muslimah yang sebagaimana yang dibenarkan,” tegasnya.

Sebelum ini seorang pengusaha dobi Muslim dicemuh ramai kerana mengkhususkan sasaran perniagaannya kepada pelanggan umat Islam sahaja atas faktor kesuciaan namun mengundang komen negatif pelbagai pihak kerana dianggap tidak selari dengan nilai-nilai dan norma masyarakat majmuk yang wujud di Malaysia.

Comments