Home Antarabangsa Misi pertama di Myanmar selesai

[VIDEO] Misi pertama di Myanmar selesai

Bantuan kemanusiaan diserahkan di Yangon

SHARE
Abdul Azeez Abdul Rahim membawa turun kotak barangan bantuan Misi Food Flotilla for Myanmar di Pelabuhan Yangon, semalam.

YANGON, MYANMAR 9 Feb. – Setelah menempuh pelbagai dugaan sepanjang berlayar selama tujuh hari di Selat Melaka dan Laut Andaman, misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar berjaya menyelesaikan fasa pertamanya di Yangon hari ini.

Barangan bantuan kemanusiaan seberat 500 tan diserahkan oleh ketua misi tersebut, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Dr. Win Myat Aye di Terminal Pelabuhan Antarabangsa Thilawa, Yangon.

Yang turut hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Mohd. Haniff Abd Rahman dan Presiden Majlis Pertubuhan Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abd. Hamid.

Selain itu, kerajaan Myanmar juga membenarkan sebanyak 30 sukarelawan terdiri daripada wakil media dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai misi tersebut berada di pelabuhan untuk turut serta dalam majlis penyerahan barangan bantuan kemanusiaan.

Reezal Merican berkata, beliau yakin kerajaan Myanmar akan menguruskan barangan tersebut kepada masyarakat yang memerlukan di negara berkenaan termasuk etnik Rohingya.

“Keterbukaan kerajaan Myanmar membenarkan misi tersebut diteruskan merupakan satu kejayaan dan kita tidak boleh terlalu skeptikal dengan mereka. Ini merupakan waktu yang sesuai untuk kita membina hubungan baik dengan kerajaan Myanmar untuk memastikan bantuan kepada masyarakat Rohingya dapat disalurkan secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai protes yang dilakukan oleh sekumpulan sami di pintu masuk pelabuhan tersebut, Reezal Merican berkata, perkara tersebut hanya satu kes terpencil.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara tersebut tetapi saya sendiri tidak nampak mereka kerana kawalan keselamatan yang ketat oleh pihak berkuasa Myanmar,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, proses penyaluran bantuan itu kepada etnik Rohingya dan etnik lain yang memerlukan di wilayah Rakhine akan dipantau oleh Mohd. Haniff.

“Walau bagaimanapun, kita masih menunggu kelulusan kerajaan Myanmar untuk membenarkan wakil daripada Kelab Putra 1 Malaysia (KP1M) dan Mapim turut memantau proses
tersebut,” katanya.

utusan online

Comments