Home Tempatan IRM perlukan RM5 juta untuk bantu umat Islam

[VIDEO] IRM perlukan RM5 juta untuk bantu umat Islam

SHARE
Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin (dua dari kiri) bersama ikon selebriti Islamic Relief Malaysia (IRM), Encik Mimpi (kiri) dan selebriti sukarelawan IRM, Farrah Adeeba (dua dari kanan) singgah di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad sempena program MySinggah Ramadhan.

KUALA LUMPUR 21 April – Islamic Relief Malaysia (IRM) memerlukan sekurang-kurangnya RM 5 juta untuk membantu umat Islam di negara-negara yang dilanda krisis termasuk Ethiopia, Somalia, Kenya, dan Bosnia.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, jumlah dana yang disasarkan itu hanyalah hasil sumbangan pertubuhan Islamic Relief di Malaysia dan tidak termasuk dana dari negara lain.

“Kita harap dapat mencapai sasaran yang kita inginkan. Tapi, ada juga dana daripada negara lain untuk membantu penduduk yang betul-betul memerlukan,” ujarnya.

“Sumbangan ini akan disalurkan kepada mereka yang kebuluran tanpa mengira bangsa dan agama. Kadang-kadang, ada antara mereka yang tidur dalam kelaparan dan kesejukan.

“Jadi, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ikhlas tersebut menerusi akaun Maybank 562142708704 dan Bank Islam 12029010065643,” katanya.

Menurutnya, sumbangan yang diperoleh akan digunakan untuk membeli makanan dan juga barangan keperluan harian yang diperlukan oleh penduduk di negara-negara terbabit.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika rombongan IRM singgah di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad sempena program MySinggah Ramadhan bagi mempromosikan kempen Kembara Ramadan itu termasuk mengedarkan 120 bungkusan makanan kepada kakitangan Utusan, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, empat buah negara ASEAN juga bakal menjadi tumpuan IRM untuk menjalankan kerja-kerja amal sepanjang Ramadan ini iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina.

Katanya, program yang dinamakan Kembara Ramadan itu akan memberikan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan secara serentak di keempat-empat negara terbabit bermula 24 Mei ini.

“Sumbangan ini akan diberikan sekali gus di keempat-empat buah negara dan program ini membabitkan kerjasama dengan Maybank,” katanya. – UTUSAN ONLINE

UTUSAN

 

Comments