Home Tempatan Flotila lebih besar jika junta Myanmar masih degil

[VIDEO] Flotila lebih besar jika junta Myanmar masih degil

SHARE
Farid berucap sewaktu hadir di Himpunan Solidariti Food Flotila for Myanmar di hadapan bangunan Tabung Haji, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 10 Mac – Kumpulan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang membentuk Food Flotilla for Myanmar tidak menolak kemungkinan misi kedua pelayaran bantuan itu akan diadakan sekali lagi jikalau kerajaan Myanmar masih meneruskan kekejaman mereka terhadap etnik Rohingya.

Menurut Timbalan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Mohd. Farid Hassan, selain Malaysia, pelayaran tersebut akan disertai oleh NGO dari beberapa buah negara lain yang turut menyuarakan minat mereka untuk bergabung jikalau misi kedua itu menjadi kenyataan.

“Jikalau Myanmar tidak kotakan janji mereka, kami akan kembali dengan lebih besar tahun hadapan,” kata Farid sewaktu Himpunan Solidariti Food Flotila for Myanmar di hadapan bangunan Tabung Haji di sini hari ini.

Menurut Farid, NGO dari Indonesia, Thailand, Turki dan Arab Saudi telah menyatakan minat mereka untuk turut sama berlayar ke Myanmar jika misi ini diadakan lagi.

“Antara perkara yang turut dibincangkan adalah setiap negara akan menyumbangkan sebuah kapal, jadi kita akan dapat pelayaran flotila yang lebih besar,” kata Farid.

Himpunan hari ini merupakan salah satu daripada program susulan yang dianjurkan oleh penggerak flotila bagi menjelaskan kepada umum pengalaman yang mereka perolehi sewaktu belayar selama 20 hari mulai 3 Februari lalu untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di Rakhine, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh. – UTUSAN ONLINE

utusan online

Comments