Home Tempatan Veteran angkatan tentera sokong usaha tangani ancaman kumpulan militan Daish

Veteran angkatan tentera sokong usaha tangani ancaman kumpulan militan Daish

SHARE

KANGAR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen (PVATMTB) menyokong penuh tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani pencerobohan kumpulan militan Daish di negara ini.

Presidennya, Ismail Abidin berkata PVATMTB sedia bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan menggunakan pengalaman anggota-anggotanya agar tindakan yang dilaksanakan itu membuahkan hasil.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini mengenai usaha-usaha yang dilaksanakan pasukan keselamatan menangani pencerobohan kumpulan militan Daish.

Hishamuddin berkata pelbagai usaha dilakukan dalam menghadapi masalah tersebut termasuk mendapatkan kerjasama dan sokongan rakan-rakan dalam negara ASEAN.

Ismail melahirkan keyakinannya pasukan keselamatan Malaysia yang berpengalaman menghadapi ancaman pengganas komunis suatu ketika dahulu berupaya menangani ancaman Daish dengan berkesan.

PVATMTB mempunyai hampir 200,000 anggota di seluruh negara dan ramai daripada mereka berpengalaman dalam bidang ketenteraan dan taktik menghadapi musuh, tambahnya.

Comments