Home Tempatan Vaksin denggi Dengvaxia tidak digunakan di Malaysia

Vaksin denggi Dengvaxia tidak digunakan di Malaysia

SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan vaksin denggi pertama di dunia, Dengvaxia tidak diedar atau digunakan di mana-mana fasiliti kesihatan sama ada di sektor awam atau swasta di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana produk itu tidak diluluskan sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan kementerian.

“Sehingga kini tiada individu yang menggunakan produk Dengvaxia dan tiada program khas diadakan bagi produk itu di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan laporan di media cetak dan elektronik antarabangsa dan tempatan mengenai maklumat terkini berkaitan produk Dengvaxia serta penggantungan produk itu oleh Filipina susulan kenyataan yang dimuat naik oleh syarikat pengeluar produk berkenaan, Sanofi Pasteur di laman rasminya.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya merujuk kepada kajian klinikal jangka masa panjang selama 6 tahun telah mendapati walaupun vaksin Dengvaxia memberi perlindungan berkesan terhadap jangkitan denggi berulang bagi mereka yang pernah dijangkiti sebelum ini, vaksin itu turut mempunyai kesan pada tempoh sama bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi.

Selain itu, mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan denggi lebih serius sekiranya mereka diberi vaksin Dengvaxia itu.

Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia hanya memberi kelulusan pendaftaran bersyarat selama 2 tahun mulai 25 November tahun lepas kepada produk Dengvaxia keluaran syarikat Sanofi Pasteur.

“Kelulusan diberi hanya untuk digunakan bagi kajian klinikal fasa 4 iaitu pasca pendaftaran yang bertujuan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung keselamatan produk berkenaan. Di samping itu, syarikat pengeluar vaksin perlu memenuhi 7 syarat yang ditetapkan sebelum produk itu dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Free Malaysia Today

Comments