Home Pendapat Uthmaniyah jatuh hasil kerja Muslim

Uthmaniyah jatuh hasil kerja Muslim

SHARE

Empayar Uthmaniyah sememangnya tersohor di kalangan umat Islam seantero dunia. Selain daripada saiz empayar tersebut yang meluas sehingga tiga benua, Empayar Uthmaniah juga adalah kerajaan Islam yang paling lama bertahan, iaitu dari 1299 – 1922. Selama 623 tahun empayar ini tersergam megah, mekar dan berkembang di Afrika, Asia dan Eropah.

Pada kemuncaknya, empayar ini tersebar seluas 5.2 juta kilometer persegi, sebagai perbandingan, keseluruhan Asia Tenggara mempunyai keluasan 4.5 juta kilometer persegi. Selain daripada keluasannya, empayar ini juga mengawal jalan perhubungan antara timur dan barat. Jika seseorang dari Asia ingin berniaga dengan pihak Eropah, maka tidak lain dan tidak bukan laluannya adalah melalui pelabuhan-pelabuhan di bawah seliaan Empayar Uthmaniyah.

Ini merupakan antara sebab pihak Portugis dan Sepanyol berusaha untuk mencari jalan lain ke India, demi mengawal laluan dan perniagaan rempah. Tidak ramai yang tahu bahawa di bawah pimpinan Khilafah ini juga terusan Suez dibina. Barangkali ini adalah terusan yang paling penting yang pernah dibina. Terusan ini menghubungkan Asia dengan Eropah melalui jalan laut, kewujudan terusan ini seterusnya mengubah landskap perniagaan pada waktu itu, seterusnya membawa kepada kejatuhan empayar-empayar Portugis dan Sepanyol.

Namun kejatuhan Khilafah Uthmaniah tidak kurang menyedihkan. Khasnya cara dan bagaimana ianya dijatuhkan.

Rakyat Malaysia khasnya pencinta sejarah tentunya sedia maklum bahawa Empayar Melaka jatuh akibat pengkhianatan. Hakikatnya itulah juga nasib yang menimpa Khilafah Uthmaniyah. Seperti mana yang dikatakan oleh William James Durant, “Satu tamadun yang hebat tidak boleh ditawan dari luar sehingga ianya telah dihancurkan dari dalam”. Maka begitulah bermulanya usaha untuk menghancurkan empayar yang agung ini dari dalam.

Dengan bantuan daripada pihak British dan Perancis, bangsa Arab bangkit menentang Khalifah. Janji-janji manis dan adu domba  pihak Barat mudah ditelan oleh mereka. Natijahnya, sampai ke hari ini umat Islam masih terkesan akibat perbuatan mereka.

Empayar yang pada satu masa dahulu digeruni oleh kuasa-kuasa Barat, sampaikan Amerika Syarikat semasa pemerintahan John Adams pernah membayar wang perlindungan kepada Khilafah Uthmaniyah. Namun semua kehebatan itu tenggelam dek ketamakan Barat untuk melebarkan pengaruh dan kekuasaan mereka. Nafsu mereka telah mendorong mereka untuk melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat tersebut.

Maka cara yang mudah untuk meluaskan kekuasan adalah dengan melemahkan musuh. Akan tetapi timbul masalah yang lebih besar, bagaimana untuk melumpuhkan musuh yang begitu kuat? Bak kata pepatah Melayu “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, maka satu strategi untuk memecahkan empayar pada bahagian-bahagian yang lebih kecil telah dilaksanakan. Maka dengan perancangan rapi, pembesar-pembesar Arab telah disogok. Setiap yang menyertai pemberontakan ini dijanjikan kekuasaan dan jajahan.

Dua manusia yang bertanggungjawab mengukir sempadan dunia Arab moden adalah Mark Sykes dan François Georges-Picot. Kedua-dua insan ini telah memeterai Perjanjian Sykes Picot, setiap inci tanah Khilafah Uthmaniyah telah dipecah-belahkan untuk membina negara-negara kecil yang sebelum ini tidak pernah wujud. Polisi pecah dan perintah ini sangat berkesan, dan British telah dapat menewaskan musuh mereka serta meletakkan boneka kawalan mereka di setiap negara baru yang dicipta. Hal ini diwarisi Amerika Syarikat dengan menyokong rejim-rejim autokratik di seluruh dunia.

Namun terdapat satu negara yang telah dijajah oleh pihak British sendiri dari tahun 1920 sehingga ke 1948. Tanah ini dinamakan British Mandate of Palestine. Mungkin terdapat beberapa individu yang dapat berkuasa dan berbangga dengan jajahan baru mereka, namun “hadiah” daripada pengkhianatan ini hanya terserlah lebih tiga dekad kemudian. Pada 14 Mei 1948, maka lahirlah sebuah negara haram yang dinamakan ‘Israel’. Kejatuhan Empayar Uthmaniah yang suatu ketika pernah dibenci bangsa Arab kini menjadi duri dalam daging terhadap kehidupan masyarakat Arab, puluhan tahun lamanya.

Comments