Home Tempatan Ustaz Idris Ahmad: PAS Tetap Akan Perjuangkan RUU 355

Ustaz Idris Ahmad: PAS Tetap Akan Perjuangkan RUU 355

SHARE

TAIPING: Mesej tular terbaru yang sedang hangat berlegar di media-media sosial mendakwa Perdana Menteri terpaksa akur kepada bantahan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sebenarnya bukanlah masalah PAS, kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Menurutnya, isu itu bagaimanapun bukanlah perkara asasnya yang penting. Namun pihak kerajaan perlu ada keberanian untuk membentangkan usul RUU 355 yang umum sedia maklum ia sepatutnya dibentangkan oleh PAS.

Ditanya apakah ada kemungkinan perkara dalam artikel tular berkenaan boleh berlaku? Ustaz Idris Ahmad berkata, tidak ada apa-apa masalah kalau kerajaan tak nak bawa, bagi saja PAS bawa. Sebab usul ini bukan daripada mereka, kita tidak kisah kalau mereka tak nak mengundi pun.

“Kita sudah 50, 60 tahun berjuang, dan tentangan itu perkara biasa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, dengan apa cara sekalipun usul ini tetap perlu dibentangkan, samada mereka mahu undi atau tidak terpulanglah, masyarakat akan dapat menilai apabila keputusan diumumkan kelak.

Menurut beliau, PAS sendiri tetap akan membawa usul ini dan berterusan akan menerangkan kepada seluruh masyarakat mengenainya kerana itu tanggungjawab PAS kepada Islam dan masyarakat.

“Jadi kita harapkan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ada keberanian untuk membawa usul ini tanpa mempedulikan desakan dari pihak DAP atau parti komponen lain,” katanya.

Mengenai parti komponen Idris berkata, itu urusan UMNO/BN biarlah mereka yang selesaikan sendiri, kita tidak masuk campur.

Beliau berkata, sepatutnya didahulukan untuk mengikut prosedur Standing Order (Peraturan Dewan) daripada agenda kerajaan namun ia boleh dibawa melainkan setelah menteri mencadangkan supaya senarai itu dikedepankan.

“Kita berharap supaya diberi peluang kepada PAS untuk bentang dan debat, PAS sedia menjawab segala kekeliruan dan selepas itu undi.”

“Biarlah kalah atau menang itu soal lain, beri kebebasan kepada Ahli Parlimen untuk tolak atau sokong,” katanya.

Menurut Idris, mengapa pula BN mahu menarik semula usul ini sedangkan PAS yang mencadangkan dan mereka cuma telah nyatakan kesediaan untuk membentangkan usul itu saja?

“Kita di pihak PAS sudah lebih 60 tahun berjuang. Sekarang samada mereka nak bawa atau tidak terpulanglah, kita sudah cadangkan dan mereka yang beriya-iya mahu membentangkan.”

“Kita sama-sama lihat, kemungkinan dalam minggu ini atau minggu hadapan, itupun kalau mereka (BN) ada keberanian,” katanya.

Comments