Home Tempatan Undang-Undang Syariah Masih Menghalang LGBT Di Malaysia – Nisha Ayub

Undang-Undang Syariah Masih Menghalang LGBT Di Malaysia – Nisha Ayub

SHARE

Hong Kong: LGBT di Malaysia sentiasa menjadi mangsa indoktrinasi di mana agama selalu digunakan untuk menekan puak-puak LGBT dan aktivis LGBT. Demikian menurut aktivis transgender, Nisha Ayub dalam temu bual beliau di dalam EconPride “Pride and Prejudice: The path to advocacy” yang diadakan di Hong Kong baru-baru ini.

Forum yang dianjurkan oleh The Economist dan diadakan di Hong Kong pada 24 Mei 2018 baru-baru ini, mengumpulkan aktivis-aktivis LGBT Asia dan memberikan fokus kepada penglibatan sektor korporat di dalam membantu perjuangan hak kumpulan LGBT di dalam negara masing-masing.

Nisha Ayub, yang juga salah seorang pengasas Pertubuhan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia (SEED Foundation), iaitu sebuah pertubuhan komuniti pertama di Malaysia yang diketuai oleh transgender, turut dijemput sebagai salah seorang panel dalam salah satu sesi temu bual utama forum.

Menjawab keterujaan moderator forum yang bertanyakan kepada beliau, seberapa positif Nisha Ayub melihat kemenangan Kerajaan Pakatan Harapan akan membantu membuka lembaran baru perbincangan mengenai golongan LGBT di Malaysia, beliau menjawab bahawa beliau tidak memberikan harapan yang terlalu tinggi dengan perubahan kerajaan yang baharu ini.

Beliau mendedahkan bahawa sektor korporat ada yang mahu membantu golongan LGBT, tetapi untuk menunjukkan sokongan secara lebih terbuka, mereka agak sangsi. Isu LGBT di Malaysia menurutnya telah dipolitikkan dengan sebegitu teruk. Beliau mendakwa bahawa golongan LGBT menjadi mangsa indoktrinasi di mana agama telah digunakan untuk menentang golongan mereka.

Beliau turut menjelaskan kepada moderator forum tersebut bahawa situasi menjadi lebih teruk kerana Malaysia masih mempunyai undang-undang Syariah.

Sambil memberi respon kepada pernyataan moderator forum berkenaan undang-undang yang dikenakan ke atas golongan gay, Nisha Ayub menambah, “Bukan itu saja, kami juga mempunyai undang-undang Syariah di mana orang seperti saya, seorang transgender wanita beragama Islam, saya boleh ditahan hanya kerana saya menjadi diri saya sendiri.”

Ketika ditanyakan oleh moderator tentang pendapatnya mengenai negeri-negeri dan kawasan luar bandar seperti Kelantan di mana undang-undang Islam yang lebih konservatif berjalan, beliau mengatakan bahawa semua tersebut berlaku kerana taraf pendidikan yang berbeza.

Nisha turut menyatakan bahawa beliau juga berasal dari kawasan luar bandar dan berhijrah dari kampungnya di Melaka ke Kuala Lumpur kerana Kuala Lumpur lebih selamat bagi golongan sepertinya. Ini kerana di Kuala Lumpur, mereka mempunyai jaringan dan sekutu.

Comments