Home Tempatan UMNO Permatang Pauh bidas kerajaan negeri

UMNO Permatang Pauh bidas kerajaan negeri

SHARE
PERMATANG PAUH 09 FEBRUARY 2017. Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (dua dari kanan) menyampaikan bantuan pinjaman tekun kepada 15 orang penerima Parlimen Permatang Pauh sempena Majlis Penyampaian Pinjaman Tekun di Wisma Transformasi, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. STR/ZULAIKHA ZAINUZMAN

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa tidak mencampuri urusan agama Islam, terutamanya membabitkan pewartaan fatwa di negeri ini.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berkata campur tangan politik dikhuatiri akan mengundang perpecahan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Beliau berkata, urusan fatwa tidak sepatutnya dibincangkan di dalam Mesyuarat EXCO negeri kerana hal ehwal agama Islam tertakluk secara terus di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Perkara ini secara jelas menunjukkan berlaku campur tangan politik apabila fatwa yang sepatutnya dipersembahkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong, dilihat perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Dalam hal ini, seharusnya urusan fatwa diputuskan oleh golongan berkelayakan atau cendekiawan Islam, supaya tidak ada kecelaruan dalam memahami garis panduan yang dikeluarkan nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional, di sini, hari ini.

Seramai 15 usahawan terpilih di Permatang Pauh menerima bantuan pinjaman antara RM7,000 hingga RM10,000 untuk kegunaan meluaskan perniagaan yang diceburi mereka.

Semalam, BH melaporkan Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, Datuk Md Salleh Ahmad, mengesahkan berlaku campur tangan dalam proses fatwa di negeri itu sehingga menyebabkan ada fatwa tidak dapat dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga kini.

Md Salleh berkata, EXCO Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Malik Abul Kassim, didakwa menggunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam proses fatwa, termasuk semua fatwa perlu melalui mesyuarat EXCO negeri.

Berita Harian

Comments