Home Tempatan Umno kecewa DAP masuk campur urusan Islam

Umno kecewa DAP masuk campur urusan Islam

SHARE

KUALA LUMPUR – Pemuda Umno melahirkan rasa kecewa dengan sikap pemimpin DAP yang terus-menerus mempertikaikan setiap agenda pemimpin Islam di negara ini.

Exconya, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, kebiadapan pimpinan DAP boleh dilihat dengan tindakan mencampuri urusan agama Islam seperti yang terjadi di Dewan Rakyat, semalam.

“Pelbagai usaha telah mereka lakukan bagi menggagalkan pembentangan Rang Undang Undang 355 (RUU 355) oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengemukakan usul persendirian di bawah Peraturan 49 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

“Kejayaan Abdul Hadi dalam mengemukakan usul persendirian tersebut semalam telah menimbulkan perasaan marah di kalangan pemimpin pembangkang terutama sekali DAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, pemimpin DAP seperti Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, misalnya, membuat pelbagai tuduhan dan cemuhan bukan sahaja kepada Abdul Hadi, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Rakyat khususnya yang beragama Islam seharusnya menilai sendiri sikap sombong dan biadap mereka sebagai cerminan keseluruhan kepimpinan DAP yang mana bukan sahaja sanggup merendah-rendahkan pemimpin Islam malah mencampuri urusan agama Islam walaupun ianya langsung tidak melibatkan orang-orang bukan Islam negara ini.

“Percayalah bahawa pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Tony Pua tidak akan duduk dengan tenang selagi masih ada pemimpin-pemimpin Melayu Islam negara ini yang tidak mahu bersekongkol dengan mereka sebagaimanai pemimpin Amanah, PKR dan Bersatu,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, pemimpin Melayu yang bersama DAP menolak RUU355 seharusnya sedar yang mereka hanya diperkudakan DAP.

“Apa yang sebenarnya pemimpin-pemimpin Melayu ini ingin buktikan serta tunjukkan kepada rakyat?

“Rakyat perlu buka mata dan sedar agenda politik pembangkang yang diketuai DAP ini, seharusnya rakyat terutamanya orang Melayu bersatu hati menolak parti-parti yang bersekongkol dengan DAP dalam PRU14 akan datang,” tegasnya.

Sinar Online

Comments