Home Kolumnis UMNO dan PAS Bersatu Demi Umat?

UMNO dan PAS Bersatu Demi Umat?

SHARE

Setiap pertubuhan, organisasi ataupun parti diwujudkan dengan tujuan-tujuan tertentu menggunakan kaedah tersendiri ke arah mencapai objektif yang ditetapkan. Adalah mustahil dan rugi jika sesuatu organisasi tidak mempunyai tujuan yang jelas dan pastinya akan melalui jalan kabur menuju ke matlamatnya. Demikian juga halnya dengan parti politik; apatah lagi jika ianya parti politik yang diasaskan dengan tujuan-tujuan yang hampir sama tetapi melalui jalan yang berbeza ke arah mencapai matlamat yang hampir sama.

Maka kita ingin kemukakan satu persoalan: dalam konteks kerjasama ke arah mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan: benarkah PAS dan UMNO mempunyai banyak persamaan yang boleh diharmonikan sejak mutakhir ini dan boleh bekerjasama dalam banyak hal atau kedua-duanya masih jauh berbeza tetapi kelihatan sedang berusaha merapatkan jurang perbezaan itu?

Inilah cakap-cakap politik terkini yang berkumandang di media sosial, pejabat-pejabat kerajaan, di kalangan NGO, di restoran-restoran mamak; hari ini, semalam, dan besoknya  di seantero pelosok negeri.  Macam dah tiada cerita lain, apatah lagi apabila bahang PRU-14 makin terasa. Bermula dengan isu RUU 355, kontroversi “Kafir Harbi”, fahaman liberal SIS dan G25, isu berus cat mengandungi bulu babi, 4 orang kuat DAP keluar parti dan sebagainya. Jelasnya, di Malaysia, memang sembang politik mengatasi semuanya kecuali jika kita menang apa-apa acara sukan di peringkat No. 1 Dunia – terhenti sekejap gebang politik seperti yang berlaku sewaktu atlit-atlit negara menjuarai gelanggang sukan dunia peringkat  berbasikal dunia dan paramlimpik baru-baru ini.

Dalam suasana negara sedang giat menyusun-atur pengurusan negara menerusi aplikasi strategi lautan biru kebangsaan (National Blue Ocean Strategy – NBOS) ke atas semua jabatan kerajaan dan GLC, apa kata jika strategi NBOS yang sama kita aplikasikan kepada kerjasama PAS dan UMNO?  Sukar, mustahil atau enggan laksanakan? Ada benar dan manfaatnya atau masih kekal berdendam, malah luka lama politik selama 60 tahun  yang lalu masih terasa?

Mari kita kenali, apakah itu Strategi Lautan Biru (BOS)?  ‘Lautan Biru’ bermaksud ruang pasaran yang belum diterokai, penciptaan permintaan, dan peluang untuk pertumbuhan sangat menguntungkan berbanding dengan pasaran sedia ada di ‘Lautan Merah’. Penulisan pendekatan Blue Ocean Strategy (BOS) oleh Profesor W.C. Kim dan Profesor R. Mauborgne ini adalah berdasarkan kajian strategi pengurusan hebat yang dilakukan selama 10 tahun terhadap 150 langkah strategik dalam 30 industri yang melibatkan 500 syarikat yang beroperasi lebih daripada 100 tahun. Secara terasnya, Strategi Lautan Biru ini melibatkan pemikiran dengan mengaplikasikan cara-cara kreatif dan inovatif dalam setiap penyelesaian. Oleh itu, inovasi nilai memainkan peranan penting dalam kejayaan strategi yang dijalankan.

Salah satu alat analisis strategi yang disebut dalam Strategi Lautan Biru ialah ‘Kanvas Strategi Sedia Ada’ (As Is Strategy Canvas)  dan ‘Kanvas Strategi Akan Datang’ (To Be Strategy Canvas). ‘Kanvas Strategi Sedia Ada’ ialah pemetaan penawaran produk berasaskan kepada faktor persaingan utama dan tahap perkhidmatan sedia ada. Kanvas strategi ini dipetakan bersama pesaing dalam industri yang sama bagi menghasilkan graf nilai keadaan semasa. Melalui graf nilai semasa, penyedia produk boleh melihat sejauh mana jurang persaingan. Sekiranya jurang begitu rapat, penyedia produk perlu melonjak ke Lautan Biru dengan melakarkan Kanvas Strategi Akan Datang. Antara faktor-faktor penting yang perlu diberikan penekanan ialah dari segi harga, keselamatan dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan.

NBOS memerihalkan strategi yang baik yang mempunyai tiga elemen penting, iaitu (1) nilai yang menjadi tarikan pengguna, (2) memberi keuntungan kepada syarikat atau organisasi dan (3) dapat mempengaruhi pekerja atau kakitangan untuk melaksanakan strategi yang digariskan. Pendekatan inilah yang digunakan oleh beberapa syarikat tempatan yang telah berjaya menunjukkan hasil yang menakjubkan seperti mana yang dilaksanakan oleh syarikat penerbangan tempatan Air Asia dan syarikat-syarikat multinasional Jepun.

Menyedari betapa pentingnya strategi lautan biru dalam pentadbiran, maka Tan Sri Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara dalam Amanat Tahun 2014 telah menyebut bahawa: “Strategi Lautan Biru Kebangsaan diwujudkan bagi merancakkan pelaksanaan berimpak. Sebagai strategi penjimatan perbelanjaan Kerajaan pula, kolaborasi strategik melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) perlulah diperkasa bukan sekadar merentasi kementerian dan jabatan, malahan ia perlu bermula di peringkat unit, seksyen dan bahagian di sesebuah kementerian atau jabatan. Strategi NBOS akan terus dipergiat berpaksikan empat (4) prinsip utama iaitu pertama, Impak Positif Yang Tinggi (faedah ketara kepada Rakyat); kedua, Kos yang minima (kos yang lebih rendah daripada kaedah konvensional); ketiga, Pelaksanaan Pantas (impak dapat dirasai dalam masa yang singkat) dan yang keempat ialah Perubahan yang Mampan.”

Sebenarnya masih ramai umat Melayu-Islam yang jujur dan ingin memelihara dan mendaulatkan Islam sebagai agama negara berkata dalam hati kecil mereka bahawa “barangkali sudah sampai masanya umat Melayu-Islam dan rakyat umum membuat satu keputusan nekad – terima ‘permuafakatan bijak’ dan ‘politik matang’ PAS dan UMNO dalam konteks NBOS sebagai lanskap politik bijak dan matang alternatif baru!

Jika demikian tuntas dan mantapnya content Strategi Lautan Biru (BOS) ini, maka kita berpandangan pendekatan BOS ini amat selari dan bertepatan dengan kerjasama politik PAS dan UMNO berdasarkan tunjang untuk memelihara dan mendaulatkan Islam sebagai agama negara.  Digandingkan dengan naungan Duli-Duli YMM Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Negeri-Negeri dan diketuai oleh SPB YDP Agong di peringkat Persekutuan (yang secara kebetulan baru sahaja mengangkat Sumpah Jawatan memelihara agama Islam di Persekutuan), maka perjuangan RUU355 adalah ibarat pentas bicara permulaan ke arah merealisasikan kerjasama (i) impak tinggi, (ii) faedah ketara kepada rakyat (terutama yang beragama Islam), (iii) pelaksanaan pantas dan (iv) perubahan mapan kepada negara dan rakyat Malaysia.

Dalam teks Islam menerusi Al-Qur’an yang ditanzilkan lebih 1438 tahun dahulu, Allah SWT sudah pun berpesan supaya ummah Islam bersatu-padu dan jangan bercerai-berai (Surah Ali ‘Imran: 103). Semoga pemimpin dan politikus berpengaruh boleh fikirkan. Dilihat dari satu perspektif strategi pengurusan moden pula, kejayaan melaksanakan kerjasama politik berasaskan NBOS ini barangkali mampu merealisasikan limpahan Rahmatan Lil ‘Alamin (Surah al-Anbiya’: 117) ke atas rakyat berbilang kaum di negara Malaysia kita, Negaraku!

Rujukan

[1]Kim, W.C. & Mauborgne, R. (2005). Blue Ocean Strategy: How to Create Uncontested Market Space and make the Competition Irrelevant. Boston: Harvard Business School Publishing Corporation

 

Comments