Home Tempatan UMMAH bimbang syor Zainul Rijal jadikan Perlembagaan Negara tak kebal pertahan Islam

UMMAH bimbang syor Zainul Rijal jadikan Perlembagaan Negara tak kebal pertahan Islam

SHARE

BANGI, 27 Syawal 1438H, Jumaat – Cadangan supaya apa-apa rang undang-undang Islam yang hendak dikuatkuasakan tidak lagi dibawa ke Dewan Rakyat untuk mendapatkan kelulusan, boleh menyebabkan Perlembagaan Negara kelihatan seolah-olah tidak lagi kebal bagi mempertahankan Islam.

Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH, Aminuddin Yahaya berpendapat, perkara itu adalah bahaya untuk masa depan negara kerana Perlembagaan sebagai satu dokumen utama Malaysia.

Dari satu aspek lain, beliau bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berhubung hak eksklusif yang akan dimiliki umat Islam untuk melaksanakan perundangan Syariah.

“Jika dokumen ‘supreme’ ini tidak lagi boleh mempertahankan Islam, maka sesuatu tindakan perlu dilakukan segera kerana apa-apa dokumen yang nak diaktakan atau digubal mesti tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan supaya Yang Dipertuan Agong sebagai ketua agama negara, memainkan peranan untuk menyekat sebarang penentangan terhadap pelaksanaan hukum syarak, termasuk undang-undang Syariah.

Malah, satu suruhanjaya berkaitan kedaulatan agama Islam juga perlu ditubuhkan bagi mengawal semua gerakan yang cuba mencabar agama Islam, dan melaporkan terus kepada Majlis Raja-Raja, katanya.

“Dari aspek politik, umat Islam perlu sedar betapa pentingnya mendapat dua per tiga kedudukan dalam Parlimen supaya keputusan nanti akan didominasi oleh umat Islam sendiri. Jadi usaha untuk memenangkan ahli Parlimen Muslim adalah sesuatu yang wajib,” katanya.

Zainul Rijal hari ini mencadangkan supaya semua undang-undang berkaitan Islam yang hendak dilaksanakan di Malaysia tidak dibentang di Dewan Rakyat untuk mendapat kelulusan, kerana ia hanya mengundang campur tangan daripada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negara bukan Islam.

Malah, beliau mengesyorkan supaya rang undang-undang khusus tentang agama Islam didrafkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Syarak Jakim atau badan yang mahir berkenaan hukum syarak, dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk format penggubalan, sebelum dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) serta Majlis Raja-Raja untuk perkenan.

Comments