Home Antarabangsa Umat Islam Mangsa Serangan Keganasan Pelampau, Polis Terus Leka

Umat Islam Mangsa Serangan Keganasan Pelampau, Polis Terus Leka

SHARE

LONDON: Dua orang sepupu, seorang lelaki dan seorang wanita Muslim yang disimbah asid di timur London mengalami kecederaan teruk yang mengubah hidup mereka. Kini mereka menuntut untuk mengetahui mengapa serangan tersebut tidak dianggap sebagai satu bentuk keganasan.

Menurut laporan yang diterbitkan oleh The Independent, Jameel Mukhtar, 37 yang diserang dengan simbahan asid bersama-sama sepupu perempuannya, Resham Khan terpaksa diletakkan dalam keadaan koma selama dua hari selepas seorang lelaki berkulit putih menyimbah asid ke atas mereka melalui tingkap kereta. Sewaktu mereka berhenti di kawasan lampu isyarat di Beckton, seorang lelaki British berkulit putih datang mengetuk tingkap kereta mereka lalu menyimbah asid ke atas kedua-duanya.

Jameel Mukhtar dan Resham Khan sebelum serangan. Ihsan gambar, Gofundme.

“Dia (penyerang) tersebut memancutkan cecair yang saya sangka cuma air kosong sehinggalah sepupu saya mula menjerit,” tambahnya.

“Saya melihat Resham terbakar sebelum saya terbakar (disebabkan asid). Saya terbakar, tempat duduk saya terbakar, pakaian saya terbakar, kulit Resham mengelupas… dalam masa beberapa saat.”

Jameel mengatakan bahawa pakaian dan kasutnya mencair di tubuhnya dan asid itu telah membutakannya buat sementara waktu menyebabkan dia merempuh pembahagi jalan.

Resham Khan selepas serangan asid yang kejam. Ihsan gambar, Gofundme.

Dia kemudiannya cepat-cepat menanggalkan pakaiannya dan cuba membantu sepupunya sambil menjerit meminta pertolongan residen dari rumah berhampiran.

Residen-residen kawasan rumah terbabit berlari keluar dengan baldi air dan paip air dalam cubaan membantu Jameel dan Resham menyahkan asid daripada tubuh badan mereka.

“Apabila saya pergi ke hospital, pihak hospital terpaksa membersihkan saya daripada asid menggunakan air bertekanan tinggi. Saya mengalami kesakitan yang luar biasa dan saya menjerit (kesakitan) seperti seorang bayi,” kata Jameel.

“Jika seorang lelaki Asia seperti saya pergi menyimbah asid kepada pasangan Inggeris yang sedang berada di dalam kereta, saya dan seluruh negara tahu bahawa ianya akan dikelaskan sebagai serangan keganasan,” katanya kepada Channel 4 News.

Jameel Mukhtar sedang dirawat. Ihsan Gambar, Gofundme

Penderitaan berterusan itu disifatkannya seperti ada seseorang yang menyeretika tubuhnya pada setiap waktu dan ketika. “Saya tidak mungkin sama seperti dahulu lagi. Saya akan sentiasa berparut,” tambahnya.

“Saya percaya bahawa ini adalah satu serangan jenayah kebencian yang berkait rapat dengan islamofobia. Mungkin dia (penyerang) didorong oleh faktor yang sedang berlaku kebelakangan ini (melibatkan Islam dan bukan Islam).”

Keadaan Jameel Mukhtar selepas serangan asid. Ihsan gambar, Gofundme.

Resham Khan, 21, yang baru sahaja selesai mengikuti program pertukaran di Cyprus berkata bahawa pihak polis tidak mengambil apa-apa kenyataan daripadanya selepas beberapa hari serangan berlaku. Dia (Resham) menulis di Twitternya bahawa ambulan “mengambil masa yang terlalu lama” untuk sampai sehinggakan mereka terpaksa menumpang untuk ke hospital oleh pemandu kenderaan lain.

Buat masa ini, penyerang dikenal pasti sebagai John Tomlin, berumur 24 tahun, berkulit cerah, tinggi lebih kurang 6 kaki, rambut pendek dan menetap di kawasan Canning Town.

Polis sedang mencari John Tomlin, 24, berikutan serangan ini. (Metropolitan Police)

“Setakat ini, tiada maklumat yang mencadangkan bahawa serangan ini berbaur perkauman ataupun berkaitan agama,” tambah jurucakap polis.

Comments