Home Antarabangsa Umat Islam Indonesia adakan lagi himpunan bantah Ahok hari ini

Umat Islam Indonesia adakan lagi himpunan bantah Ahok hari ini

SHARE

JAKARTA, 14 Jamadilawal 1438H, Sabtu – Umat Islam di Indonesia hari ini meneruskan perhimpunan besar-besaran di Jakarta bagi membantah Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang menghina Islam.

Meskipun pihak berkuasa melarang sebarang bentuk demonstrasi, beberapa kumpulan dan penganjur bertegas untuk mengadakannya.

Setiausaha agung Forum Umat Islam (FUI), Muhammad Al Khaththath berkata, perhimpunan di Monumen Nasional tetap diteruskan seperti yang dirancang dan tidak akan dibatalkan kerana ia tidak melanggar undang-undang.

“Perhimpunan ini tidak dibatalkan kerana tidak ada satu pun undang-undang yang tidak kami patuhi.

“Apa yang dilakukan oleh FUI sudah mengikut undang-undang apabila terlebih dahulu memberi notis kepada polis.

“Kami menyeru semua umat Islam supaya tidak ragu-ragu dan khuatir untuk menyertai perhimpunan ini,” katanya.

Perhimpunan berkenaan dijangka disertai beberapa kumpulan Islam termasuk Barisan Pembela Islam (FPI) yang sebelum ini turut mengadakan himpunan membantah Ahok.

Polis Jakarta kelmarin tidak membenarkan perhimpunan berkenaan kerana diadakan ketika tempoh bertenang yang melarang sebarang kempen menjelang hari pengundian pilihan raya gabenor Jakarta pada Rabu ini.

Ahok sebelum ini mencetuskan kemarahan kumpulan Islam apabila mendakwa lawannya menggunakan ayat al-Quran untuk menipu pengundi supaya tidak memilihnya.

Ahok kini berdepan perbicaraan mahkamah selepas didakwa menghina agama. -Agensi

Comments