Home Tempatan Umat Islam diajak sertai #QuranHour hari ini

Umat Islam diajak sertai #QuranHour hari ini

SHARE

BANGI, 24 Ramadan 1438H, Isnin – Seluruh umat Islam tanpa mengira latar belakang digalakkan menyertai kempen membaca al-Quran selama sejam atau Malaysia #QuranHour hari ini bermula jam 12 tengah hari.

Kempen Malaysia #QuranHour ini akan berlangsung di ruang solat, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Pemilihan tarikh 24 Ramadan bagi pelaksanaan Malaysia #QuranHour adalah sebagai dorongan dan pecutan meningkatkan hubungan dengan al-Quran pada 10 hari terakhir Ramadan.

Imam Besar Masjid, Ehsan Mohd. Hosni berkata, penyertaan orang ramai dalam penganjuran program itu boleh menjadi manifestasi bagi mencetuskan gelombang mencintai al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Katanya, bagi yang tidak berpeluang menyertai acara tersebut, mereka boleh menyokong usaha murni dengan membaca al-Quran di mana sahaja berada.

Rebut peluang ini khususnya dalam bulan Ramadan untuk membaca dan bertadabbur ayat-ayat suci al-Quran menerusi program Malaysia #QuranHour.

“Walaupun ia berlangsung selama sejam, tetapi memberi makna amat besar kepada umat Islam untuk menggalakkan budaya membaca al-Quran pada setiap masa dan di mana sahaja,” katanya.

Aturcara program bermula jam 12 tengah hari antaranya adalah tadabbur dan tazakkur, pembukaan ngaji, solidariti ngaji dan bacaan 24 surah oleh 24 tokoh.

Comments