Home Tempatan Ukraine Bawa Rusia Ke ICJ Kerana Keganasan Termasuk Insiden MH17

Ukraine Bawa Rusia Ke ICJ Kerana Keganasan Termasuk Insiden MH17

SHARE

Oleh Nor Faridah Abd Rashid

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Tragedi MH17 yang ditembak jatuh dijadikan sebahagian prosiding yang diambil oleh Ukraine di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Netherlands, bagi mempertanggungjawabkan Rusia terhadap tindakan keganasan dan diskriminasi dalam pencerobohannya ke atas Ukraine.

Duta Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo berkata dalam kes yang difailkan pada 16 Jan itu, Ukraine mendakwa Rusia mencabuli Konvensyen Antarabangsa untuk Menyekat Pembiayaan Keganasan dengan membekalkan senjata dan bantuan berbentuk lain kepada kumpulan-kumpulan bersenjata haram yang beroperasi di wilayah Ukraine.

“Kumpulan-kumpulan ini telah melakukan keganasan di Ukraine menggunakan senjata yang dibekalkan Rusia termasuk menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17,” kata duta itu dalam kenyataan kepada Bernama, di sini hari ini.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu terhempas di timur Ukraine pada Julai 2014, membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal.

Kes itu difailkan di bawah Konvensyen Antarabangsa bagi Menyekat Pembiayaan Keganasan dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum yang ditandatangani oleh kedua-dua negara berkenaan.

Tindakan keganasan lain termasuk pembedilan kawasan kediaman di Mariupol dan Kramatorsk, kemusnahan sebuah bas awam berhampiran Volnovakha dan pengeboman sebuah perhimpunan aman di Kharkiv, kata kenyataan itu.

Selain itu, Ukraine juga mendakwa Rusia mencabul Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum dengan terlibat dalam kempen diskriminasi terhadap komuniti bukan Rusia yang tinggal di Semenanjung Crimea, wilayah yang diduduki Rusia, khususnya komuniti etnik Ukraine dan Muslim Tatar.

Ia mendakwa bermula dengan ‘referendum’ haram yang dijalankan secara ugutan, pihak berkuasa Rusia yang menduduki wilayah itu menguatkuasakan dasar pemadaman budaya terhadap komuniti terbabit. Diskriminasi bercorak sedemikian telah dikecam oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kata kenyataan itu.

Kenyataan kedutaan turut memetik Menteri Luar Ukraine Pavlo Klimkin sebagai berkata Ukraine membawa perkara itu kepada ICJ selepas lebih dua tahun cuba menyelesaikan pertelingkahan menerusi rundingan seperti yang dituntut Konvensyen, namun Rusia enggan menghentikan pencabulan undang-undang antarabangsa.

“Justeru, kami failkan kes untuk mempertanggungjawabkan Rusia terhadap pencabulan-pencabulan ini dan untuk mempertahankan hak-hak asas rakyat Ukraine berdasarkan triti-triti yang turut ditandatangani Rusia,” kata Menteri Luar itu.

Ukraine turut memohon ICJ mengenakan langkah-langkah sementara untuk menghalang Rusia daripada terus mencabuli hak asasi manusia sementara menunggu kes itu selesai.

Mengenai MH17, duta itu berkata Rusia telah menggunakan kuasa vetonya di PBB pada Julai 2015 untuk menyekat draf resolusi yang menyarankan penubuhan tribunal antarabangsa bagi menyiasat tragedi udara MH17.

Rusia satu-satunya negara dalam kalangan 15 anggota Majlis Keselamatan PBB yang menentang langkah itu, mencetuskan kecaman pelbagai pihak.

Bagaimanapun, dalam kes ini Rusia perlu hadir di ICJ memandangkan negara itu adalah penandatangan dua Konvensyen terbabit, kata duta itu kepada Bernama ketika ditemui di luar Sesi Luar Biasa Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam mengenai minoriti Muslim Rohingya di Myanmar, di sini hari ini.

Bernama

Comments