Home Tempatan UKM-KWM bangun modul pengurusan pewarisan Islam

UKM-KWM bangun modul pengurusan pewarisan Islam

SHARE

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kausar Wealth Management (KWM) Sdn Bhd untuk membangunkan modul pengurusan pewarisan Islam.

Kerjasama itu memberi penekanan kepada penjanaan melalui hibah dan sedekah selain menyediakan latihan industri kepada pelajar Tahun Tiga terpilih di Fakulti Undang-undang (FUU) UKM.

Pada majlis itu, UKM diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali, manakala KWM oleh Pengarah Urusannya, Khamarul Azhar Hashim dengan disaksikan Dekan FUU, Prof Dr Zinatul Ashiqin Zainol dan Pengarah KWM, Suzana Abu Bakar.

Jalinan itu juga memfokuskan penghasilan mekanisme bersesuaian yang akan memudahkan penubuhan Dana KWM-FUU UKM serta jawatankuasa Pemegang Amanah bagi Tabung Amanah dana terbabit.

Memorandum berkuat kuasa dalam tempoh lima tahun itu berupaya menampung keseluruhan atau sebahagian daripada kos pembelajaran pelajar Islam kurang berkemampuan menerusi zamalah FUU UKM, selain menjana kewangan FUU melalui hibah dan sedekah disalurkan KWM.

Pada majlis sama, UKM turut menandatangani surat hasrat (LOI) dengan Mirandah Asia Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Patrick Mirandah.

Ia bagi menaja empat pelajar universiti itu menjalani latihan undang-undang di pejabat Mirandah selama 10 minggu di Kuala Lumpur dan seminggu di masing-masing Singapura, Thailand, Indonesia atau Filipina.

Berita Harian

Comments