Home Antarabangsa “UK Akan Sentiasa Menjadi Rakan Israel” – Setiausaha Pertahanan Britain

“UK Akan Sentiasa Menjadi Rakan Israel” – Setiausaha Pertahanan Britain

SHARE

United Kingdom: Setiausaha Pertahanan Britain yang baru, Gavin Williamson telah mencetuskan ketegangan terhadap peranan Britain di Timur Tengah melalui tindakannya memuji Israel dan langsung tidak menyebut mengenai Palestin dalam ucapannya.

Menurut Russia Today, sewaktu berucap dalam Conservative Friends of Israel’s Annual Parliamentary Reception, Williamson menyifatkan Israel sebagai “pembawa sinar harapan di rantau yang penuh dengan kebencian dan kelukaan”.

“Kita tidak boleh memandang ringan terhadap betapa sukarnya untuk memastikan cahaya itu tetap terang dan menyala.”

Tanpa menyentuh perihal Palestin dan rakyatnya, Williamson juga mendakwa bahawa negara Britain akan “mempertahankan” Israel.

“Jika kita tidak berada di situ untuk mempertahankan sebuah negara yang mempunyai pandangan dan cita-cita yang hampir sama, atau sebenarnya (pandangan dan cita-cita) yang sama, apakah (peranan) kita sebagai sebuah negara?”

Selain itu, Williamson juga mendakwa bahawa UK mempunyai “hubungan kerjasama yang kukuh dan kuat” dengan Israel.

“Ia adalah hubungan rakan kongsi…hubungan perkongsian yang sama rata dan seperti kawan.”

“UK akan sentiasa menjadi rakan Israel.”

UK dan Perancis terlibat secara langsung dalam penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948 yang direalisasikan melalui Perjanjian Sykes-Picot yang dimeterai pada tahun 1916.

Menteri-Menteri Luar Arab sebelum ini pernah meminta agar Amerika Syarikat membatalkan pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel dan meminta agar komuniti antarabangsa mengakui Palestin sebagai sebuah negara.

Comments