Home Tempatan UiTM Buka Kemasukan Pelajar Tahfiz

UiTM Buka Kemasukan Pelajar Tahfiz

SHARE

Shah Alam, Selangor: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menerima pelajar lepasan sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara bagi menyambung pengajian di universiti itu,” demikian menurut Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Menurut beliau, inisiatif ini adalah selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan menyasarkan 125,000 huffaz profesional yang menguasai pelbagai disiplin ilmu seperti kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan, perbankan dan seni bina akan dilahirkan menjelang 2050 di bawah gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Keupayaan para pelajar ini dalam penghafalan membuktikan bahawa mereka mempunyai tahap kecerdikan dan kepintaran yang tinggi.”

“Keupayaan ini sekiranya diteruskan dalam pengajian bidang profesional di peringkat universiti bakal melahirkan pelajar yang mempunyai kekuatan jati diri agama, di samping kepakaran dalam bidang-bidang profesional yang diceburi,” katanya dalam kenyataan yang dipetik oleh Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata laluan kemasukan untuk pelajar lepasan sekolah tahfiz ini akan dilaksanakan melalui beberapa kaedah, iaitu penawaran kepada pelajar tahfiz lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang untuk mengikuti program Asasi di UiTM dan mengikuti program pengajian Diploma dalam bidang yang bersesuaian dengan kelayakan pelajar.

“Bagi pelajar tahfiz dengan keputusan SPM yang tidak memenuhi syarat kelayakan program Diploma di UiTM, mereka boleh memohon program Pradiploma (Sains) atau Pradiploma (Perdagangan) sebelum mengikuti pengajian di peringkat diploma,” katanya lagi.

Difahamkan, inisiatif ini bakal dijayakan menerusi kerjasama UiTM dengan Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Maahad Tahfiz kerajaan negeri dan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA).

Comments