Home Kolumnis UDHR & Hak Asasi Acuan Malaysia

UDHR & Hak Asasi Acuan Malaysia

SHARE

Tanggal 10 Disember, seluruh dunia berpesta meraikan Hari Hak Asasi Manusia (HAM) bersempena pengisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia atau dikenali sebagai Universal Declaration of Human Rights (UDHR) secara rasmi pada tahun 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bertitik tolak daripada sejarah hitam Perang Dunia ke-2, deklarasi ini telah dihasilkan oleh sembilan orang penggubal utama iaitu Dr. Charles Malik (Lebanon), Alexandra Bogomolov (USSR), Dr Peng Chun Chang (China), Rene Cassin (Perancis), Elanor Roosevelt (US), Charles Dukes (United Kingdom), William Hodgson (Australia), Herman Santa Cruz (Chile) dan John P. Humprey (Kanada).

Deklarasi HAM disifatkan sebagai kenyataan pertama hak asasi manusia secara global yang dilihat seolah-olah harus dipatuhi sepenuhnya oleh negara-negara anggota PBB. Merujuk kepada dokumen tersebut, UDHR terdiri daripada 30 perkara yang menyatakan hak dan kebebasan yang asas untuk semua. Walau bagaimanapun, tidak semua hak asasi manusia yang diterbitkan oleh UDHR itu bersifat sejagat.

Pada tahun 1981, wakil Iran di Bangsa-Bangsa Bersatu, Said Rajaie-Khorassani, mengatakan bahawa UDHR adalah satu kefahaman sekular tradisi Judeo-Kristian. (“a secular understanding of the Judeo-Christian tradition“) yang tidak boleh dilaksanakan oleh orang Islam tanpa melanggar undang-undang Islam. Pembentukan UDHR yang dilihat menyebelahi Barat telah menghasilkan Deklarasi Kaherah sebagai garis panduan bagi anggota-angota OIC melihat hak asasi manusia dalam perspektif Islam.

Mengapa UDHR dikatakan tidak sejagat? Hal ini kerana terdapat prinsip yang dibawa melangkaui kepentingan agama dan tidak sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan negara kita. Malangnya, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia ini begitu galak menjaja UDHR agar digunapakai dengan membuta tuli oleh negara yang berdaulat ini.

Pada tahun 2013, Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) telah membuat pelbagai tuntutan dan desakan yang jelas bertentangan dan jauh menyimpang dengan Islam sebagai Agama Persekutuan. Antara tuntutan yang dikemukakan Comango adalah hak kebebasan orientasi seksual, LGBT, hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama yakni pluralisme agama di negara ini. Gabungan itu turut menuntut undang-undang jenayah syariah dihapuskan di samping memberi persepsi negatif terhadap tindakan penguatkuasaan oleh jabatan agama Islam negeri.

September lalu, Pelapor Khas Hak Kebudayaan PBB, Karima Bennoune telah melawat Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak bagi menyediakan laporan tentang tahap aplikasi hak asasi ke atas rakyat Malaysia dalam hal kebudayaan, kesenian dan pembangunan sains seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 27 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR). Beliau mengkritik sikap tidak terbuka negara dalam membincangkan isu sensitif sebagai mengongkong dalam pengamalan agama dan sekatan terhadap golongan yang menyokong LGBT. Selain itu, beliau turut menyeru agar lembaga penapisan dimansuhkan berikutan tindakan pengharaman beberapa buah buku oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bayangkan jika Malaysia mengiktiraf satu-persatu tuntutan tersebut. Kebudayaan, adat dan identiti asal Malaysia sebagai negara berdaulat yang bertunjangkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan akan terhakis. Walaupun kita boleh merujuk peruntukan hak asasi yang terkandung dalam UDHR, tetapi ia tidak sekali-kali boleh melanggar peruntukan dalam perlembagaan dan undang-undang negara kita.

Meskipun UDHR dianggap sebagai satu dokumen yang ‘gah’ dan sering dibanggakan, ia tidak mempunyai penguatkuasaan ke atas mana-mana negara. Sebaliknya, kuasa besar dunia telah menggunakan hak asasi ini untuk menekan, melemahkan, dan menjatuhkan negara-negara yang tidak sehaluan dengan mereka demi kepentingan tertentu. Tetapi standard yang sama tidak pernah pula mahu digunapakai mereka. Pelanggaran hak asasi ini telah lama berlaku terutamanya kepada umat Islam. Lihat sahaja Iraq, Libya dan contoh yang paling klasik Palestin.

Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengisytiharkan supaya kota suci umat Islam, Baitulmuqaddis dijadikan sebagai ibu negara kerajaan haram Israel. Pengisytiharan tersebut telah mengundang kemarahan seluruh umat Islam terutamanya rakyat Palestin yang selama ini telah dizalimi oleh rejim Zionis. Rakyat Palestin bukan sahaja dirampas tanah, dibunuh dengan kejam dan diusir keluar, malah hak asasi mereka dirampas dan dinafikan tanpa pembelaan. PBB seolah-olah memandang sepi sahaja. Puluhan kalau pun tidak ratusan resolusi telah dilanggar Israel, sedangkan PBB, peneraju UDHR tidak mampu berbuat apa malah seringkali ditundukkan dengan kuasa veto.

Begitu juga dengan beberapa yang peristiwa yang berlaku baru-baru ini di seluruh dunia. Tentunya kita masih ingat dengan sebuah bandar di Perancis yang telah mengenakan larangan bagi wanita Islam memakai burkini (baju renang tutup aurat) dan niqab. Manakala, di negara sekular India pula pelancong Muslim berketurunan India diarahkan berpatah balik dan pulang ke Malaysia hanya kerana dikatakan berpakaian seperti pendakwah Islam.

Pelaksanaan larangan ini kononnya dibuat agar keselamatan negara mereka terjamin.

Hal ini jelas menunjukkan sikap prejudis, diskriminasi dan hipokrasi mereka dalam mempertahankan hak asasi manusia. Walhal, tiada bukti kukuh yang mengaitkan pakaian Muslim dengan ancaman keselamatan ataupun keganasan.

Hakikatnya, hak asasi manusia dan kebebasan mutlak tanpa sempadan hanya akan mendatangkan lebih banyak kemudaratan. Sememangnya kita menyanjung tinggi hak asasi manusia. Ianya sangat Islamik sebenarnya. Akan tetapi, janganlah kita menerima bulat-bulat apa yang dibawa oleh Barat sehingga pegangan agama dan maruah negara tergadai. Barat dengan seribu satu dogma sedang berperang dengan ‘diri sendiri’ makanya kita tidak perlu melayan semua itu.

 

Rujukan:

1. http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.eaic.gov.my/sites/default/files/seminar_hak_asasi_manusia_kebangsaan_2016_ucap_utama_0.pdf

2. https://ms.wikipedia.org/wiki/Perisytiharan_Hak_Asasi_Manusia_Sejagat#cite_note-Littman1999-6

3. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/hak-asasi-mutlak-dan-ancamannya-1.423387

4. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/hak-asasi-menurut-acuan-kebangsaan-1.533064

5. http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/10/03/malaysia-perlu-benarkan-kepelbagaian-islam-kata-wakil-khas-pbb/

Comments