Home Pendapat Turki Uthmaniyyah dan Kesultanan Melayu

Turki Uthmaniyyah dan Kesultanan Melayu

SHARE

Sistem Khilafah telah dihapuskan oleh pengkhianat bangsa dan agama, Mustafa Kemal Atarturk. Permulaan sejarah antara Mustafa Kemal Attarturk dan khilafah Uthmaniyah bertitik tolak sejurus selepas sistem khilafah dihapuskan dan digantikan dengan sistem sekular republik di Turki.

Sewaktu Khilafah Uthmaniyah terkenal di mata dunia, empayar hebat ini banyak menaburkan jasa kepada kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu. Namun, ramai yang tidak mengetahui perkara ini kerana bahan dan maklumat yang terhad mengenai jasa dan peranan Empayar Uthmaniyah kepada Tanah Melayu. Pemerintah Uthmaniyah pernah menolong dan berhubungan rapat dengan beberapa kesultanan Melayu seperti Melaka, Johor dan Aceh.

Kekuatan hubungan kesultanan Johor dengan Empayar Uthmaniyah bermula pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar. Baginda diiktiraf oleh Khilafah Uthmaniyah sebagai Sultan Johor dan memakai gelaran Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah. Hubungan baik antara dua kesultanan ini berlangsung sehingga tahun 1922. Sultan Abu Bakar banyak mengaplikasikan cara pemerintahan Uthmaniyah. Baginda telah mewujudkan pelbagai jabatan bagi melicinkan lagi pentadbiran kerajaan negeri Johor menyamai daerah-daerah maju di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyah. Contohnya seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Perbendaharaan, Pejabat Audit, Mahkamah Besar, Pejabat Percetakan Kerajaan, Jabatan Kerjaraya, Polis, Pejabat Ukur, Pejabat Tanah, dan Pejabat Pelajaran.[2] Maka tidak hairanlah apabila Johor diberi jolokan sebagai bandar kembar Istanbul, ibu kota Turki.

Pada tahun 1519, Portugis yang sedang menjajah Melaka ketika itu kecut perut apabila terdengar khabar berita mengenai bantuan tentera laut dari Turki akan tiba untuk membantu membebaskan Melaka. Atas sebab itu, pihak Portugis telah bertindak menyerang kapal Turki di pantai Yaman yang disyaki akan ke Melaka. Lihatlah betapa hebatnya empayar Uthmaniyah suatu ketika dahulu. Mendengar khabar angin sahaja cukup membuatkan Portugis resah gelisah dan ketakutan.[3]

Aceh yang menjadi kuasa Islam terkuat di Alam Melayu selepas kejatuhan Melaka juga pernah mendapat bantuan dari khilafah hebat ini. Semasa Aceh membantu orang Islam Nusantara, Khilafah Uthmaniyah telah mengirimkan 160 orang Turki, askar Habsyah, askar Gujarat (India/Pakistan) yang jumlahnya tak terhitung, dan 200 askar Malabar (India). Bukan itu sahaja, khilafah terkenal ini juga pernah memberi Aceh 500 pucuk meriam moden. Pada waktu itu, teknologi meriam Uthmaniyyah merupakan yang terbaik di seluruh dunia. Semua ini untuk membantu pertahanan Aceh.[4]

Khilafah Uthmaniyah bukan sahaja menyalurkan bantuan secara fizikal, bahkan bantuan secara spiritual dan semangat juga meresap dalam diri penduduk Nusantara.

“Kita wajib menguatkan ikatan kita dengan kaum Muslim di belahan bumi yang lain. Kita wajib saling mendekati dalam ikatan yang amat kuat. Sebab, tidak ada harapan lagi di masa depan kecuali dengan kesatuan ini.” Inilah gagasan yang dikenali sebagai Pan-Islamisme. Usaha menguatkan kesatuan Islam sampai ke Nusantara yang dipelopori oleh Sultan Abdul Hamid II, Sultan terakhir bagi Kerajaan Uthmaniyah.

Pan-Islamisme tersebar di Tanah Melayu atas jasa Syed Syeikh Al-Hadi dan rakan-rakan seperjuangan melalui penerbitan majalah Al-Imam. Isi kandungan majalah Al-Imam secara umumnya mengajak diri setiap Muslim untuk memajukan diri dan tidak terpedaya dengan tipu helah penjajah. Dasar penentangan dalam majalah ini diambil berdasarkan perjuangan bangsa Turki dalam mempertahankan kedaulatan bangsa dan agama.

Selain itu, kewujudan madrasah-madrasah berideologi pan-Islamisme juga membantu perkembangan dasar Sultan Hamid II di samping menyedarkan masyarakat Muslim untuk bangkit menentang penjajah.[5]

Laras undang-undang Tanah Melayu juga digubal berdasarkan undang-undang Empayar Uthmaniyah yang mengamalkan perundangan Islam. Sistem ini meletakkan sultan sebagai ketua negara. Apabila sistem gelaran sultan digunakan, dapat dilihat bahawa kewibawaan Raja-Raja Melayu semakin terjamin. Ia juga telah mengukuhkan kedudukan kerajaan Islam dan undang-undang Islam. Hal ini kerana penyelarasan gelaran ini meletakkan mereka setaraf dengan pemerintahan kerajaan Islam di seluruh dunia. Kemuliaan dan kedaulatan sultan dapat dilihat apabila baginda semua disinonimkan dengan ‘bayangan Allah di muka bumi’.[5]

Kesimpulannya, ramai yang terlepas pandang akan jasa dan pengaruh Khilafah Uthmaniyah di Nusantara. Sumber-sumber sejarah dalam bentuk dokumentasi dan digital juga sukar diperoleh. Usaha untuk membuat kajian dan mendokumenkan peranan Khilafah Uthmaniyah kepada umat Islam Nusantara patut diberikan penekanan demi peringatan dan pengajaran kepada generasi akan datang.

Rujukan
[1] Mohd Said bin Haji Sulaiman (1940), Hikayat Johor dan Tawarikh al-Marhum Sultan Abu Bakar, Singapura: Malaya Publishing House Limited
[2] http://www.pkspiyungan.org/2015/05/pertama-dalam-sejarah-turki-rayakan.html
[3] Metzger, Laurent, (2015). The Image of Turkey in Malay World.
[4] Ermy Azziaty Rozali. (2009). Pan-Islamisme dan respons masyarakat Melayu. Dlm Farid Mat Zain (Ed). Daulah Uthmaniyah: detik kejatuhan Khilafah Islamiyah di Turki 1924 dan reaksi orang Melayu (hlm. 38). Shah Alam:Karisma Publications Sdn. Bhd.
[5] http://www.scribd.com/doc/13417116/Bincangkan-Pengaruh-Agama-Islam-Dalam-Masyarakat-Melayu-Tradisional

Comments