Home Antarabangsa Turki tawar bantu Malaysia urus pelarian Syria

Turki tawar bantu Malaysia urus pelarian Syria

SHARE

ANKARA: Turki menawarkan kepakarannya kepada Malaysia dalam mengendalikan 3,000 pelarian Syria yang akan mendapat perlindungan di Malaysia.

Presiden Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Jabatan Perdana Menteri Turki, Mehmet Halis Bilden, turut memuji usaha murni Malaysia, atas kesediannya membuka pintu kepada kumpulan pelarian tertindas itu.

Beliau berkata, Malaysia boleh menghantar pasukan pakar dan agensi kemanusiaannya ke negara ini bagi mendapatkan pandangan berkenaan apa yang boleh dilakukan dalam mengurus kehidupan pelarian.

“AFAD boleh memberi kerjasama dan sedia bantu Malaysia dari pelbagai aspek dalam urusan pengendalian pelarian Syria menerusi perbincangan dua hala membabitkan agensi pakarnya.

“Malaysia dan Turki boleh bekerjasama untuk memastikan nasib pelarian Syria dibela,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat AFAD, hari ini.

Terdahulu, Bilden menerima kunjungan 50 delegasi media antarabangsa, termasuk Malaysia, yang diberi peluang mendapatkan perincian terhadap usaha Turki dalam mengendalikan 3.5 juta pelarian Syria.

Tahun lalu, Malaysia menyatakan komitmennya untuk membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi membantu meringankan krisis pelarian. Ketika ini, lebih 200 pelarian Syria sudah mendapat perlindungan di Malaysia.

Terdahulu, pada sesi soal jawab bersama delegasi media, Bilden menjelaskan, Turki sehingga kini sudah membelanjakan AS$25 bilion bagi menguruskan pelarian Syria berlindung di negara itu sejak 2011.

Beliau berkata, kos itu merangkumi perbelanjaan pelbagai aktiviti, antaranya program makanan, kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata, kerajaan Turki juga kini sedang membangunkan prasarana lebih lengkap dan selesa buat pelarian, termasuk menyediakan kemudahan sekolah dan hospital.

Berita Harian

Comments