Home Tempatan Tunggu 40 tahun lagi jika RUU355 tak lulus kali ini: UMMAT

Tunggu 40 tahun lagi jika RUU355 tak lulus kali ini: UMMAT

SHARE

BANGI, 16 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Umat Islam terpaksa menunggu sehingga 40 tahun lagi sekiranya cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 tidak diluluskan pada sidang Parlimen penggal ini.

Pengerusi Sekretariat Ummat Menyokong Memperkasakan Akta 355 (UMMAT), Aminuddin Yahaya berkata, meskipun ia dapat dibentangkan semula kelak, namun kemungkinan untuk diluluskan juga tipis.

“Susah untuk usul ini dibawa semula ke Parlimen sekiranya tidak diluluskan kali ini. Itu pentingnya ia diluluskan ketika ini, jika tak usul berkenaan tidak lagi ‘valid’.

“Ia tidak mustahil untuk dibawa semula pada penggal depan, namun ia sudah tidak relevan kerana sudah tidak diluluskan sekarang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau berharap usul pindaan akta itu dapat dibentangkan oleh kerajaan, berbanding Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Ia akan memudahkan kerja dan menyebabkan usul itu diluluskan dengan mudah. Jika ia dibawa oleh Datuk Seri Hadi Awang, kita masih belum pasti jumlah yang menyokong, berbanding kerajaan.

“Kita mohon komponen Barisan Nasional, terutama MCA dapat bersetuju dengan perkara ini, dan minta juga rakyat berdoa supaya ianya dapat dilaksanakan,” katanya.

Usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 itu dibentangkan Abdul Hadi pada 26 Mei lepas dan sepatutnya dibentang dan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6 kali sebatan syarie.

Ia antara lain bagi meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Kali terakhir dipinda pada tahun 1984 (33 tahun lalu) peningkatan dari penjara 6 bulan dan denda RM1,000.

Comments