Home Tempatan Tun Hamid: Rukun Negara tak wajar jadi mukadimah Perlembagaan

Tun Hamid: Rukun Negara tak wajar jadi mukadimah Perlembagaan

SHARE

KUALA LUMPUR: Rukun Negara diwujudkan atas sebab keadaan politik negara justeru tidak sesuai dijadikan mukadimah Perlembagaan Persekutuan, kata bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Beliau menyuarakan kebimbangan jika Rukun Negara dijadikan mukadimah yang mempunyai kuasa undang-undang dan hakim perlu menggunakannya untuk mentafsir perlembagaan, ia berisiko mewujudkan penghakiman yang bertentangan dengan peruntukan sedia ada.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Sidang Meja Bulat Perkasa: Rukun Negara Dijadikan Mukadimah Perlembagaan Persekutuan? yang dibacakan oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, hari ini.

Program itu susulan kempen sekumpulan aktivis melalui gerakan Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan agar Rukun Negara dijadikan mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan.

Gerakan itu akan mendapatkan sokongan tokoh-tokoh ternama dan orang ramai sebelum dibawa kepada Majlis Raja-raja Melayu.
Mukadimah adalah kenyataan pengenalan yang menyatakan prinsip dan panduan bagi perlembagaan sesebuah negara. Perlembagaan Persekutan Malaysia tidak memiliki mukadimah.

“Mukadimah digubal pakar perundangan dengan tujuan untuk menjadikannya mukadimah kepada Perlembagaan.
Rukun Negara tidak semestinya digubal pakar perundangan dan ia untuk tujuan politik negara, bagaimana hendak dijadikan mukadimah?” kata Abdul Hamid.

Rukun Negara mempunyai 5 prinsip diperkenalkan susulan peristiwa 13 Mei 1969 iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Dalam ucapan itu, beliau membangkitkan kedudukan Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak yang mungkin terancam dengan Rukun Negara yang menyebut ‘mencipta masyarakat yang adil’ dan ‘mencapai perpaduan yang lebih erat’.

“Arahan dan tindakan eksklusif yang mengutamakan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dalam segala bidang akan menjadi tidak berperlembagaan dan tidak sah.
“Ia boleh digunakan untuk mencabar Perkara 153,” katanya.

Beliau juga berkata perkataan ‘Islam’ tidak disebut dalam Rukun Negara, dan hanya menyebut ‘Tuhan’ tanpa diikuti ‘Yang Maha Esa’.

Mengikut undang-undang, ‘Tuhan’ boleh jadi satu atau lebih dari satu.

“Maka hujah boleh dikemukakan di Parlimen untuk menyamakan kedudukan agama di Malaysia,” katanya.

Malah kata beliau, Rukun Negara berbeza dengan Panca Sila, asas kepada prinsip kenegaraan rasmi Indonesia, yang diperkenalkan presiden pertama Soekarno ketika penubuhan republik itu.

“Ketika itu kebanyakan rakyat negara itu tidak tahu adanya perlembagaan negara. Kita dari awal lagi diperkenalkan dengan perlembagaan sebagai undang-undang utama negara.”

Justeru, beliau menggesa semua pihak menghormati peranan sedia ada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Free Malaysia Today

Comments