Home Tempatan Tukar agama: Mufti syor semak semula keputusan Mahkamah Persekutuan

Tukar agama: Mufti syor semak semula keputusan Mahkamah Persekutuan

SHARE

BANGI, 21 Jamadilawal 1439H, Rabu – Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman mencadangkan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penukaran agama tiga kanak-kanak kepada Islam yang terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang baru-baru ini.

Masih bersedih dengan keputusan itu katanya, semakan keputusan perlu dibuat pihak-pihak berautoriti supaya hak kanak-kanak Islam itu terbela.

Beliau berkata, tujuan semakan semula itu bukanlah untuk menghina mahkamah, sebaliknya ia berkaitan soal agama.

“Kita tidak bersetuju sebab keputusan itu bercanggah dengan syarak. Ia amat menyedihkan umat Islam. Seolah-olah anak yang dididik dan dipelihara dengan Islam, akhirnya murtad dengan keputusan mahkamah.

“Saya rasa tak kena di situ. Sepatutnya, dari segi agama anak kena ikut agama ibu bapa jika salah seorangnya adalah Islam. Anak dah Islam, mana boleh jadi murtad.

“Tambahan pula, keputusan mahkamah kali ini berbeza dengan keputusan kes lalu. Jadi pendapat saya, ianya perlu disemak semula,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.

Ketika mereka diislamkan pada 2009, kanak-kanak berkenaan itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan.

Menerusi 99 muka surat penghakiman yang dibacakan Zainun, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Berbeza dengan kes Subashini a/p Rajasingam melawan Saravanan a/l Thangathoray pada 2007, Mahkamah Persekutuan terdahulu memberikan hak sama rata kepada semua.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments