Home Tempatan Tuduh Polis Intai Kaki, Aktivis Selar Wanita Tular Dilarang Masuk Balai

Tuduh Polis Intai Kaki, Aktivis Selar Wanita Tular Dilarang Masuk Balai

SHARE

Kuala Lumpur: Tindakan seorang wanita yang memuatkan beberapa siri video yang sarat dengan pelbagai kritikan dan tuduhan terhadap pihak polis, termasuk kononnya terdapat anggota polis yang sibuk memerhatikan kaki beliau semasa bercakap, diselar oleh seorang aktivis tempatan yang aktif dalam melakukan kerja-kerja amal dan bantuan kemanusiaan.

Kuan Chee Heng, Pengasas Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia membuat teguran tersebut di laman media sosial Facebook beliau sebagai respon kepada video tular penuh emosi Kogee Sinniah yang menuduh pihak polis sebagai enggan membenarkannya masuk ke dalam balai polis Alam Damai Cheras selepas diekori oleh kereta yang dinaiki oleh para ‘gengster’.

Mantan pegawai polis yang lebih dikenali sebagai Uncle Kuan itu berkata, “Secara ajaibnya dia mendakwa anggota polis tersebut merenung kakinya yang cantik luar biasa kerana dia sedang memakai seluar pendek.”

“Bagi saya anggota polis itu telah dilatih untuk berjaga-jaga dengan barangan mencurigakan yang mungkin tersembunyi di dalam kereta dan perlu untuk melihat bagi memeriksa dalam kereta.”

“Semua anggota polis telah dilatih untuk berwaspada dan sentiasa bersiap sedia.”

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim telah menyangkal dakwaan wanita tersebut bahawa beliau telah dihalang untuk memasuki kawasan balai polis sepertimana yang didakwa olehnya dalam video tular tersebut.

Menurut Datuk Seri Mazlan Lazim lagi, balai polis sentiasa terbuka kepada orang awam terutamanya bagi kes-kes kecemasan.

Pihak polis juga telah menahan tiga remaja lelaki yang dikatakan telah mengekori kereta yang dipandu oleh wanita berkenaan untuk membantu siasatan.

Mereka menjelaskan kepada pihak polis bahawa mereka bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan wanita tersebut yang dikatakan memandu secara merbahaya dan memasuki laluan mereka sehingga hampir berlaku perlanggaran.

Comments