Home Tempatan Tubuhkan pusat kajian Majlis Raja-Raja

Tubuhkan pusat kajian Majlis Raja-Raja

SHARE
FELO Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Cabaran besar terhadap institusi raja kini memperlihatkan keperluan untuk diwujudkan satu badan khusus sebagai pusat kajian pada peringkat Majlis Raja-Raja.

Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, berkata kewujudan badan khusus itu akan membolehkan Majlis Raja-Raja melihat isu penting berkaitan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, ketiadaan badan yang melakukan kajian itu menyebabkan tindakan diambil secara ad hoc sekiranya memerlukan pandangan mengenai isu yang berbangkit.

“Penubuhan badan khusus sebagai pusat kajian ini dapat menjadikan institusi raja semakin relevan.

“Ia akan membolehkan Majlis Raja-Raja melihat pelbagai isu semasa yang penting misalnya mengenai isu perpecahan dan akidah Melayu serta hal berkaitan perkembangan agama bukan Islam,” katanya ketika ditemui selepas wacana Bicara Pendidik: Kupasan dari Misa Melayu dan Perlembagaan Persekutuan di Muzium Diraja di sini, hari ini.

Shamrahayu berkata, cadangan penubuhan badan khusus sebagai pusat kajian itu juga bukan bertujuan untuk menyebabkan perbalahan atau persaingan dengan kerajaan.

“Ia masih akan dilakukan dalam lingkungan kuasa raja itu sendiri,” katanya.

Berita Harian

 

Comments