Home Antarabangsa Trump Menangguhkan Perpindahan Kedutaan Ke Baitulmuqaddis

Trump Menangguhkan Perpindahan Kedutaan Ke Baitulmuqaddis

SHARE

Washington: Beberapa jam selepas mengumumkan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani satu dokumen pengecualian undang-undang yang menangguhkan perpindahan kedutaan negara itu ke Baitulmuqaddis selama enam bulan, tetapi pada masa yang sama mengarahkan persiapan untuk berbuat demikian dimulakan, lapor portal The Times of Israel.

Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan Akta Kedutaan Jerusalem pada tahun 1995 yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel dan menyatakan kedutaan Amerika perlu berpindah ke sana, namun presiden-presiden Amerika terdahulu berulang kali menggunakan pengecualian undang-undang tersebut.

Pada hari Rabu lepas (waktu tempatan) , Trump berkata, “Selepas lebih dua dekad pengecualian undang-undang (digunakan), kita masih tidak menghampiri perjanjian damai antara rakyat Israel dan Palestin. Adalah satu kebodohan untuk menganggap bahawa menggunakan formula yang sama sekarang akan menghasilkan keputusan yang berbeza atau lebih baik.”

Ucapan Trump ini mendapat pujian daripada Israel tetapi mendapat bangkangan dan kritikan daripada seluruh dunia yang ternyata risau akan berlakunya pertumpahan darah baru di Timur Tengah.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson menyatakan bahawa kerja-kerja untuk memindahkan kedutaan akan bermula serta merta, namun boleh mengambil masa beberapa tahun untuk selesai.

Comments