Home Antarabangsa Trump belum berjaya kagumkan rakyat – Tinjauan

Trump belum berjaya kagumkan rakyat – Tinjauan

SHARE

WASHINGTON: Dua minggu sejak majlis angkat sumpah, Presiden Donald Trump masih belum berjaya mengagumkan rakyat Amerika Syarikat apabila majoriti 53 peratus tidak menyokong cara hartawan itu mengendalikan tugasnya, menurut tinjauan CNN/ORC.

Ia menunjukkan kadar sokongan paling rendah bagi presiden baru dilantik sejak tinjauan mula mengesan keputusan berkenaan.

Trump juga menjadi satu-satunya presiden yang memperoleh kadar sokongan negatif pada awal pentadbirannya.

Secara keseluruhan, cuma 44 peratus menyokong cara beliau menguruskan tugas, tujuh mata di bawah kedudukan terdahulu iaitu 51 peratus. Kedudukan itu jelas amat berbeza dengan presiden terdahulu.

Walaupun kadar sokongan untuk bekas Presiden Ronald Reagan 51 peratus dalam tinjauan Gallup pada 1981 tidak jauh berbeza dengan 44 peratus yang diperoleh Trump ketika ini, kadar yang tidak menyokong Reagan jauh lebih rendah berbanding Trump iaitu 13 peratus berbanding 53 peratus.

George W Bush, presiden terakhir dipilih tanpa memperoleh undi popular, mendapat kadar sokongan lebih positif iaitu 57 peratus pada Februari dalam tahun pertamanya, dengan cuma 25 peratus tidak bersetuju.

Beberapa tindakan tertentu diambil Trump pada dua minggu pertama beliau memegang jawatan itu juga berhadapan tentangan, menurut tinjauan.

Kebanyakannya membantah had perjalanan berikutan arahan eksekutif yang dikeluarkan minggu lalu, dan 55 peratus berkata mereka melihat ia sebagai cubaan menghalang umat Islam memasuki Amerika.

Selain itu, enam dalam 10 rakyat Amerika membantah rancangan Trump membina tembok sepanjang sempadan dengan Mexico. – AGENSI

Berita Harian

Comments