Home Tempatan Tribunal tindas Rohingya buat keputusan di KL

Tribunal tindas Rohingya buat keputusan di KL

SHARE

KUALA LUMPUR: Tribunal Awam Tetap yang menjalankan prosiding terhadap jenayah kemanusiaan di Myanmar, dijangka membuat kesimpulan ketika sesi penutup di ibu negara, September nanti.

Presiden Pergerakan Sedunia untuk Keadilan (JUST), Dr Chandra Muzaffar, berkata tribunal bebas yang dihakimi pakar berkaitan hak asasi manusia, genosid, perundangan dan bekas diplomat dari seluruh dunia akan membuat keputusan berhubung jenayah yang berlaku terhadap etnik Rohingya, Kachin serta etnik minoriti lain di Myanmar.

Katanya, ketika tribunal yang dijangka diadakan pada 18 hingga 22 September itu, saksi daripada pelarian Rohingya dan Kachin di Malaysia akan memberi keterangan dan pembuktian terhadap pembunuhan, rogol serta kekejaman lain yang berlaku terhadap mereka ketika berada di Myanmar.

“Hasil keputusan tribunal itu akan dimaklumkan kepada umum, selain akan diserahkan kepada badan tertentu seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN, khususnya pasukan misi pencarian fakta PBB ke Myanmar.

“Walaupun keputusan tribunal itu tidak terikat pada undang-undang, namun ia mempunyai kuasa untuk mempengaruhi secara moral bagi terus mendesak kerajaan Myanmar, ” katanya pada sidang media di ibu pejabat JUST di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin dan Setiausaha Forum Antarabangsa Hubungan Buddha-Muslim (BMF), KV Soon.

Kerajaan Myanmar pada Jumaat lalu, memaklumkan tidak membenarkan pasukan misi pencarian fakta PBB memasuki negara itu untuk menyiasat pembunuhan, rogol dan penyeksaan terhadap etnik Rohingya beragama Islam, walaupun wujud desakan untuk berbuat demikian.

Tribunal Awam Tetap yang berpangkalan di Rome, Itali, memulakan prosiding pertamanya berhubung isu kemanusiaan di Myanmar pada Mac lalu di Queen Mary University of London.

Chandra berkata, ketika prosiding pertama, tribunal itu menggesa langkah berkesan diambil oleh PBB dan ASEAN bagi menghentikan kezaliman terhadap etnik minoriti di Myanmar, namun ia tidak menghukum mana-mana pihak.

Ketika ditanya sama ada keputusan tribunal itu mampu memaksa kerajaan Myanmar menghentikan kekejaman itu, Chandra berkata kesannya adalah untuk jangka panjang, dan menjadikan contoh puluhan bantahan dan desakan yang berjaya menghentikan peperangan di Iraq dan dasar aparteid di Afrika Selatan selepas beberapa dekad.

“Tribunal Awam Tetap ini berbeza dengan desakan sebelum ini kerana ini adalah kali pertama tribunal terhadap isu di Myanmar dilaksanakan, selain turut membawa desakan dan bantahan terdahulu serta bakal mencapai keputusannya di rantau ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Azril berkata, kira-kira 30 pelarian Rohingya di Malaysia dijangka menjadi saksi ketika prosiding penutup tribunal itu di Kuala Lumpur, selepas mewawancara kira-kira 100 masyarakat Rohingya Malaysia ketika sesi tribunal pertama di London.

“Wawancara terdahulu adalah bagi mengumpul bukti kukuh berlaku pembunuhan, perkosaan dan kekejaman lain, dibukukan dan dibentangkan kepada tiga juri di London.

“Kami juga akan mewawancara kira-kira 300 pelarian Rohingya dan Kachin dan etnik minoriti Myanmar lain di Malaysia dan berharap sesuatu yang konkrit diputuskan September depan untuk dibentangkan pada badan antarabangsa,” katanya.

Berita Harian

Comments