Home Santai@menara Trek 90 ° Pacak Dan 7 Pautan Tali Akan Dilalui Untuk Sampai...

Trek 90 ° Pacak Dan 7 Pautan Tali Akan Dilalui Untuk Sampai Ke Puncak Bongkok – Gunung Bongkok

Sewaktu melalui laluan balak menuju ke kaki Gunung Bongkok anda akan dihidangkan dengan permandangan indah iaitu dapat melihat dari jauh Gunung Benum, Gunung Tungku dan Gunung Jubar.

SHARE
Gambar dari penulis

Gunung Bongkok yang terletak di Ulu Cheka, Jerantut Pahang yang mempunyai ketinggian 897 meter (2,942 kaki) yang mempunyai skala kesukaran 7/10 di mana ia benar-benar menguji tahap mental dan fizikal para pendaki. Pendakian kali ini disertai lebih dari 36 orang pendaki yang datangnya dari kumpulan Pahang Hikers dan bergabung bersama dengan pendaki dari Jengka Hikers pada 7 Oktober 2017 lalu.

Puncak Gunung Bongkok di ketinggian 2942 kaki

Pendakian ini bermula jam 9 pagi sebelum bermula kami diberi sedikit taklimat oleh pemandu arah kami iaitu Encik Ali, serta tip-tip keselamatan yang harus para pendaki patuhi. Segala peralatan mendaki haruslah lengkap, seperti memakai pakaian yang sesuai,kasut yang sesuai dan tak kurang penting adalah persediaan mental dan fizikal juga. Bekalan air juga harus dibawa secukupnya kerana laluan pendakian ini tidak mempunyai sebarang sumber air.

Persediaan MENTAL juga adalah harus diberi penekanan penting dalam memulakan pendakian kerana jika mental seseorang pendaki tidak kuat ia akan menyebabkan kesukaran untuk mencapai matlamat sampai ke puncak, jadi tip yang harus para pendaki fokuskan adalah MINDSET. Pendaki wajib setkan minda untuk sampai ke PUNCAK walau apa pun cabaran dan rintangan dilalui contohnya trek yang licin disebabkan hujan,  pastinya menyebabkan kesukaran dalam perjalanan pendakian tersebut.
Selain itu persedian  FIZIKAL seperti kekuatan tangan, lutut dan kaki amatlah memainkan peranan penting dalam mendaki, di samping  TEKNIK PERNAFASAN  yang betul harus dititikberatkan, supaya ketika mendaki tiada komplikasi yang akan berlaku atau membuatkan pendaki cepat penat kerana pernafasan yang tidak teratur. Sebelum mendaki harus membuat REGANGAN OTOT terlebih dahulu supaya otot-otot di badan tidak kekejangan sewaktu mendaki.

Berbalik pada cerita pendakian kami, sewaktu melalui jalan Balak kami para pendaki  dihidangkan dengan pemandangan yang mengindahkan di trek perjalanan balak tersebut kami dapat melihat dari jauh betapa cantiknya Gunung Benum, Gunung Tungku , Gunung Jubar, dan  dikelilingi bukit-bukau yang menghijau  penuh ketenangan minda dan  mendamaikan mata kami semua.

Laluan Balak yang dikelilingi gunung-ganang dan bukit-bukau yang menghijau.

Lebih kurang 2 jam sampailah kami di kaki Gunung Bongkok. Setelah 15 minit berehat maka bermulalah cabaran kami mendaki ke puncak Gunung Bongkok, pendakian kami disambut dengan cabaran memanjat bukit dengan hanya memaut pada  akar-akar  yang ada di sekeliling. Ini kerana trek yang akan kami lalui ini agak ‘dara’ kerana jarang didaki atau dikunjungi oleh pendaki sebelum ini.

Pendakian menjadi semakin sukar pada awal jam pertama berikutan darjah tahap ketinggian trek semakin meningkat menyebabkan para pendaki terasa tercabar dari segi mental dan fizikal, tetapi berbekalkan semangat mindset untuk sampai ke puncak diiringi dengan keindahan panorama di sekeliling trek tersebut membuatkan kami tidak berputus asa dan terus mendaki.

Keadaan hutan tebal dan permukaan tanah yang lembab dek kerana dilimpahi hujan di malam sebelumnya, membuatkan banyak lintah-lintah berkeliaran menunggu mangsa untuk menghisap darah. Tetapi ini bukanlah satu perkara yang mematahkan semangat kami untuk meneruskan pendakian walaupun lintah ini adalah 90 peratus ketakutan dan kegelian yang sering dihadapi oleh para pendaki terutamanya pendaki wanita.

Lalun trek ke Puncak yang menaik yang dikelilingi hutan tebal.

Setelah dua jam mendaki kami diuji dengan trek yang lebih kejam sampailah kami di mana kami harus melalui 7 laluan yang bertali. Bayangkan anda membuat aktiviti rock climbing di pusat rekreasi situasi yang sama anda akan lalui di sini lebih-lebih lagi ada gaung yang menanti di bawah sana. Sekiranya tali yang dipegang tidak kuat dan lutut tidak cekap maka mautlah jawabnya.

Akhirnya kami berjaya mengharungi cabaran 7 laluan bertali tersebut walaupun ada di antara kami yang gayat tetapi dengan semangat berpasukan dan mindset untuk sampai ke puncak segala cabaran diharungi bersama.

Tepat jam 2 petang kami telah berada di atas puncak Gunung Bongkok. Berdirinya kami dengan ketinggian 897 meter dari aras laut membuatkan kami terpana dan terpaku melihat kecantikan langit yang terbentang luas yang dikelilingi awan-awan putih yang tebal di samping keindahan tumbuh-tumbuhan hijau di sekeliling bukit. Oleh itu kami tidak melepaskan peluang bergambar bersama panorama indah terbentang luas ini, terasa penat kami berbaloi.

Pemandangan yang indah di Puncak Gunung Bongkok

Sesudah berehat, makan, solat dan mengambil gambar, tepat jam 3 petang kami mula bersiap-siap untuk turun kembali, sewaktu turun kami melalui 7 laluan bertali yang sama tadi. Tiba-tiba langit mulai bertukar gelap menandakan hujan akan tiba, maka cabaran dan rintangan yang baru akan menanti kerana laluan trek bakal licin dan basah pastinya akan mengundang bahaya jika tidak berhati-hati.

Ada antara kami yang sudah sedia dengan baju hujan, ada di antara kami yang terlupa nak bawa. Hujan pun turun dengan lebatnya maka trek menjadi agak mencabar untuk dilalui setiap pergerakan terbatas. Macam-macam kejadian berlaku ada yang tergolek-golek, ada yang tergelincir dan ada juga yang turun menggelongsor disebabkan trek yang licin. Tetapi inilah pengalaman yang sememangnya akan dilalui setiap pendaki sekiranya trek basah dan licin.

Alhamdulillah segala cabaran dan rintangan dapat kami lalui dengan jayanya walaupun ada di antara para pendaki mengalami kekejangan otot dan terpaksa berhenti berehat seketika. Pendakian ini berakhir jam 7 malam dan matlamat untuk capai ke Puncak Gunung Bongkok akhirnya tercapai. YES!!!! Misi kami setiap pendaki tercapai.

*Penulisan ini telah disumbangkan oleh Nor Hafizah Che Din.

Comments