Home Antarabangsa Tragedi Grenfell : Terima Kasih Tuhan Kerana Ramadhan

Tragedi Grenfell : Terima Kasih Tuhan Kerana Ramadhan

SHARE

PUTRAJAYA: Umat Islam yang tinggal di bangunan Grenfell Tower, London telah menyelamatkan ramai penghuni menara kediaman itu. Ini kerana ramai warga Grenfell Tower yang beragama Islam terjaga untuk bersahur pada waktu itu memandangkan waktu solat subuh adalah pada jam 2:39 pagi. Api yang mula marak pada kira-kira jam 1:15 pagi itu disedari oleh warga Muslim yang kemudiannya bergegas untuk menyelamatkan jiran tetangga.

Akhbar The Huffington Post melaporkan bahawa, seramai 50 orang telah dikejarkan ke lima hospital untuk menerima rawatan. Beratus-ratus penduduk yang menghuni 120 unit kediaman di Grenfell Tower, utara Kensington telah dipindahkan akibat kejadian kebakaran tersebut.

Menurut seorang saksi, Khalid Suleman Ahmed, 20, beliau baru berpindah ke bangunan tersebut bersama makciknya dan menetap di tingkat 8.

“Tidak ada bunyi penggera kebakaran atau amaran yang menandakan berlaku kebakaran. Ketika itu saya sedang bermain PlayStation sementara menunggu waktu sahur dan terbau asap. Saya bangun dan menjenguk ke luar dan melihat asap telah merebak di tingkat tujuh,” kata Suleman.

“Saya mengejut makcik saya dari tidur dan mula mengetuk pintu jiran tetangga. Semua pintu dibuka kecuali dua rumah saja, namun kemudian saya melihat seorang lagi jiran saya, jadi hanya ada satu keluarga yang tidak kelihatan,” katanya.

Penghuni Grenfell Tower menyedari akan kebakaran tersebut setelah dikejutkan oleh umat Islam yang menetap di menara itu.

Sementara itu, seorang warga tempatan berkata,” Kanak-kanak Muslim telah menyelamatkan penghuni bangunan tersebut. Mereka berlari-lari mengetuk pintu untuk mengejutkan penghuni di situ. Terima kasih Tuhan kerana Ramadan.”

Andre Barroso, 33, memberitahu akhbar The Independent, “Umat Islam memainkan peranan yang besar dalam menyelamatkan penghuni bangunan itu.”

Rentetan dari kebakaran yang berlaku, banyak masjid, dan badan sukarelawan lain telah menawarkan bantuan seperti tempat perlindungan, makanan, minuman dan pakaian kepada mangsa kebakaran Grenfell Tower.

Comments