Home Tempatan TPM minta pusat tahfiz daftar dengan kerajaan demi pelajar

TPM minta pusat tahfiz daftar dengan kerajaan demi pelajar

Zahid berkata pendaftaran itu bukan bertujuan mengawal pusat tahfiz tetapi untuk memelihara kebajikan pelajar.

SHARE

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pusat tahfiz supaya mendaftar dengan pihak berwajib bagi menjamin kebajikan pelajar.

Beliau berkata pendaftaran berkenaan bukan bertujuan mengawal pusat tahfiz di negara ini, tetapi memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya daripada kerajaan.

“Biar institusi itu besar, kecil atau pondok… saya seru institusi tahfiz yang belum berdaftar, berdaftarlah.

“Bukan mahu mengawal, tetapi kita mahu menjaga dan memelihara kebajikan anak-anak kita,” katanya ketika berucap pada Himpunan 30,000 Huffaz anjuran Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden Pinta Mohd Zahid Mahmood.

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan komited untuk membantu membangunkan pusat tahfiz yang melahirkan mereka yang memelihara Al-Quran dan agama Islam.

Ahmad Zahid berkata kerajaan berhasrat mewujudkan kira-kira 125,000 huffaz di negara ini dalam tempoh 30 tahun lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan bukan sekadar mahu melahirkan ilmuan agama yang menghafal Al-Quran, tetapi golongan profesional yang mampu memacu pembangunan negara.

“Negara dahagakan ada dalam kalangan para huffaz ini menjadi ahli ekonomi, ahli politik, jemaah menteri, bahkan mungkin perdana menteri yang dapat membawa Malaysia dan nama Islam di persada dunia sebagai wakil ummah,” katanya.

Ahmad Zahid selepas itu turut menunaikan solat Maghrib dan solat hajat memohon kesejahteraan negara bersama para huffaz dari 650 madrasah seluruh negara itu.

Free Malaysia Today

 

Comments