Home Tempatan Tolak Pindaan Akta 355: Agenda Terancang Nyah-Islamkan Negara

Tolak Pindaan Akta 355: Agenda Terancang Nyah-Islamkan Negara

SHARE

Polemik berkenaan Akta 355 masih jelas kedengaran. Walaupun ianya seperti terhenti seketika apabila pihak kerajaan menyatakan pendirian untuk mengambil alih untuk membawa usul tersebut di Parlimen kelak, isu ini kembali hangat apabila PAS menyatakan hasrat untuk mengadakan himpunan raksasa. Himpunan yang bakal diadakan pada 18hb Februari kelak di Dataran Merdeka (terkini permohonan lokasi tersebut ditolak DBKL) dengan sasaran untuk mengumpulkan seramai 300,000 orang untuk menyatakan sokongan kepada pemerkasaan Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355.

Ada pihak yang menentang atas dasar negara ini bersifat sekular dan pindaan Akta 355 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ada juga yang merasakan masanya belum sesuai untuk pindaan ini direalisasikan sedangkan negara dilanda beberapa permasalahan seperti kos sara hidup yang tinggi dan graduan yang menganggur. Namun pihak yang menyokong berpendapat semua itu adalah alasan yang tidak bersangkutan dengan hak asasi orang Islam untuk hidup sebagai seorang Muslim seperti yang dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan.

Satu temubual menara.my bersama pakar perlembagaan Dato’ Profesor Hj. Mahamad Naser Bin Disa telah diadakan usai majlis penerangan berkenaan dengan Akta 355 kepada pihak media baru-baru ini.

WM: Apakah pandangan Dato’ apabila ada pihak-pihak yang menolak pemerkasaan mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355 ini atas alasan bahawa negara ini adalah sebuah negara sekular dan usaha untuk meminda Akta 355 sebenarnya bertentangan dengan perlembagaan?

MND: Cakap-cakap sebegini sebenarnya tidak berasas. Hakikatnya RUU 355 adalah selari dengan perlembagaan atas pelbagai sebab. Pertama sekali kerana Akta 355 ini telah wujud sejak sekian lama, iaitu semenjak 1965. Bagaimana pula boleh dikatakan Akta ini tidak selari dengan Perlembagaan (Persekutuan) setelah lebih 50 tahun kewujudan? Di manakah rasionalnya dakwaan ini? Usaha yang dibuat oleh Dato’ Seri Abdul Hadi bukanlah untuk memperkenalkan akta baru, cuma hanya untuk meminda Akta ini yang sudah wujud sejak sekian lama.

WM: Akta ini telah wujud sejak tahun 1965, yakni hampir sedekad selepas kemerdekaan. Mengapakah Mahkamah Syariah perlu diperkenalkan dalam negara setelah merdeka sedangkan perundangan Sivil sudah diguna-pakai sedari awal?

MND: Itu adalah tanggapan yang tersasar daripada kebenaran. Mahkamah Syariah telah wujud sejak sekian lama dibawah Raja-raja Melayu di negeri masing-masing. Batu Bersurat Terengganu sendiri bertarikh seawal 1303. Ini jelas membuktikan bahawa Undang-Undang Syariah telah pun dilaksanakan di negara ini pada ketika itu. Maka kita boleh simpulkan bahawa sistem perundangan syariah telah wujud sekurang-kurangnya sejak 700 tahun lebih awal. Sedangkan English Law baru wujud lebih kurang 200 tahun. Bagaimana boleh dikatakan Perundangan Syariah muncul selepas kemerdekaan?

WM: Bagaimana pula dengan pandangan bahawa keberadaan Mahkamah Syariah sebenarnya membuka jurang konflik kepada sistem perundangan di Malaysia kerana sering bertindih antara satu sama lain?

MND: Tidak ada konflik di antara Mahkamah Syariah dan Sivil, bahkan kedua-duanya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Isu-isu berkenaan undang-undang jalan raya dan keselamatan adalah di bawah perundangan Sivil. Tetapi untuk isu-isu berkaitan dengan aqidah dan pemikiran kita ada Mahkamah Syariah. Terdapat banyak kesalahan yang boleh dihukum di bawah Mahkamah Syariah tetapi terbatas kepada hukuman-hukuman yang disebut di dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

WM: Jadi pada pandangan Dato’ kenapakah masih ada pihak yang masih mahu mengatakan bahawa negara ini sebenarnya sebuah negara sekular?

MND: Bila kita tanya, mereka mula-mula berkata, ianya ada dalam Perlembagaan. Tetapi bila kita tanya “di mana dalam Perlembagaan?”, mereka tidak dapat menjawabnya. Perkataan “sekular” itu sendiri pun tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka dakwaan itu sama sekali, seperti saya katakana tadi, tidak benar.

WM: Tetapi Dato’, ada juga yang berpandangan bahawa ketiadaan perkataan ‘sekular’ dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sekali-kali membawa maksud bahawa kita adalah sebuah negara Islam? Apa pendapat Dato’ Profesor?

MND: Sebenarnya kita boleh rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan Artikel 3(1) yang mengatakan dengan jelas bahawa ‘Islam adalah agama bagi Persekutuan’, Sumpah Yang Di-Pertuan Agung dalam perkara 37(1) Jadual Keempat. Selain daripada itu, falsafah negara adalah Islam, kerana sistem barat baru diperkenalkan di negara kita, lebih kurang 200 tahun sahaja. Sedangkan penemuan batu bersurat Terengganu bertarikh 1303, telah membuktikan yang kita sudah mengamalkan sistem perundangan Islam, lebih 700 tahun lama. Selain daripada itu, status agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah diwarisi daripada Perlembagaan Negeri-negeri Melayu. Ini juga membuktikan bahawa perundangan Syariah bukanlah lebih rendah daripada perundangan sivil. Tetapi kedua-duanya saling melengkapi.

WM: Jadi kesimpulan yang dibuat pihak-pihak yang menentanga pindaan Akta 355 bahawa negara sedang mengalami proses Islamisasi tegar sebenarnya jauh tersasar?

MND: Ingin saya tegaskan di sini, hakikatnya sebaliknya yang berlaku.

WM: Maksud Dato’?

MND: Sebenarnya ada usaha untuk menyah-Islamkan negara ini. Bukan Islamisasi tetapi ‘Deislamisation’. Untuk memudahkan mereka mensekularkan negara ini. Dulu sudah ada usaha untuk berbuat demikian tetapi akhirnya gagal. Nampaknya perkara ini masih menghantui mereka dan mereka masih berusaha.

WM: Jadi Dato’ bolehkah kita simpulkan bahawa penolakkan kepada Pindaan RUU 355 sebenarnya satu usaha terancang untuk menidakkan falsafah Islam negara yang sedia termaktub dalam perundangan tertinggi negara yakni, Perlembagaan Persekutuan? Usaha terancang untuk menyah-Islamkan negara ini?

MND: Sebenarnya itulah yang sedang berlaku.

Comments